top of page
Writer's pictureMYB

Paduan Suara Hael Husaini Dan DOLLA Dalam Single Raya 'Suara Lebaran Kita'

Dua label hiburan terkenal tanah air, Rocketfuel Entertainmentdan Universal Music Malaysia, bergabung sekali lagi utnuk mempersembahkan sebuah single Raya istimewa berjudul SUARA LEBARAN KITA, kolaborasi mantap di antara penyanyi terkenal, Hael Husaini dengan girl group popular, DOLLA, yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya.


“Jika sebelum ini lagu-lagu Raya saya selalunya keseorangan, bagi kali ini saya hendak ‘berteman’ pula, jadi saya menyapa DOLLA di media sosial dan mereka memberi respon baik, jadi terus saya katakan ‘hello, jom masuk studio!’” jelas Hael bagaimana kolaborasi ini bermula.


Lagu Raya rancak dalam nuansa pop dansa ini ternyata mempunyai feel yang moden namun masih mengekalkan ‘bunyi’ kemeriahan sambutan Hari Raya itu sendiri.


“Lagu ini saya ciptakan bersama-sama Ezra Kong dan kami ada memasukkan elemen K-pop yang sememangnya sinonim dengan DOLLA tetapi telah ‘dimelayukan’, dan pendengar harus mendengarnya sendiri,” tambah Hael dalam nada teruja.


Heal Husaini teruja berduet bersama DOLLA dalam single raya terbaru 'Suara Lebaran Kita'

Walaupun sibuk dengan jadual kerja yang padat, kumpulan DOLLA masih sempat merakamkan single Raya ini bersama Hael kerana bagi mereka peluang sebegini jarang-jarang berlaku, apatah lagi apabila pelawaan tersebut datangnya dari seorang yang bernama Hael Husaini.


“Sudah tentunya kami sangat teruja dan terkejut apabila artis sehebat Hael ingin berkolaborasi dengan DOLLA, dan single ini merupakan lagu Raya kedua dari DOLLA dan pertama kalinya berkolaborasi dengan artis lain.“


Kami serasi bekerja dengan Hael dan Ezra kerana ada 'chemistry', proses rakaman di studio mengambil masa selama 5 jam sahaja disebabkan bimbingan mereka berdua yang sungguh profesional. Walaupun lagu ini agak berbeza dengan genre yang biasa kami bawakan, namun melodinya mengasyikkan, unik, dan 'quirky',” kongsi Sabronzo.


SUARA LEBARAN KITA menceritakan tentang perasaan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang dambakan kemeriahan sambutan Hari Raya bersama keluarga dan teman-teman sebelum bencana COVID-19 melanda dunia, dan akhirnya pada tahun ini, kita dapat bersua semula dengan wajah-wajah yang telah lama kita rindui.


Apabila dua nama besar industri muzik Malaysia saling bergabung, tentunya video muzik (MV) yang bakal dilancarkan sama menarik.


"Konsep MV single ini sangat comel dan segar dalam suasana retro yang diselitkan dengan elemen fantasi, kami semuanya menjadi sebuah lukisan yang kemudiannya dihidupkan, dan kalau hendak tahu lagi kenalah tonton!," kata Tabby


Kata Encik Erick Yew, selaku Ketua Label dan Penerbitan Rocketfuel Entertainment, “Kami sememangnya sukakan kelainan, Hael Husaini dan DOLLA berjaya terjemahkannya melalui sebuah single Raya yang cukup istimewa.


SUARA LEBARAN KITA tepat menggambarkan perasaan kita seluruh rakyat Malaysia yang ingin merasai suasana sambutan perayaan seperti sediakala, semoga lagu ini dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini.


“Bagi Universal Music Malaysia pula, tahun ini kita memang ingin memeriahkan dan menyuntik semangat untuk beraya tahun ini secara ‘all out’ setelah 2 tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman, dan lagu ini amat bersesuaian untuk kemeriahan sambutan hari raya dan juga kombinasi yang terbaik untuk tahun ini” kata Anne Mukhtar, Pengurus Promosi dan Pemasaran Universal Music Malaysia.


DOLLA dan Hael berharap agar peminat-peminat kami #iDOLLAdan #Haelers sukakan single Raya ini kerana mesej kegembiraan dan kebersamaan yang ada di dalamnya, semoga Raya pada kali ini memberi seribu keberkatan dan makna buat kita semua.


Lagu SUARA LEBARAN KITA boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBOX, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.


Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTubeRocketfuel Network.

Comments


bottom of page