Biarpun akur bukan laluan yang mudah untuk bergelar penyanyi, sementelah persaingan yang sengit dari ramai pendatang baru yang hadir ke dalam industri bak cendawan yang tumbuh selepas hujan, tiga artis baru yang bernaung dibawah Aci-Aci Buka Pintu Music (AABP Music), Qiem Churros, Aida Bahaman dan Farhan Maarob optimis dan gigih mencari platform kukuh bergelar penyanyi di negara ini.
Berbekalkan bakat yang ada, ketiga-tiga artis baharu ini yakin dan bersedia berjuang untuk dikenali dan diiktiraf sebagai penghibur dalam industri hiburan tanah air.
Muhammad Aidi Hakim Subry atau lebih dikenali Qiem Churros pernah menyertai program realiti nyanyian, Vokal Mania di TV3, kini aktif mencipta populariti di aplikasi TikTok berkata, dia tahu bukan mudah untuk mencari peluang namun akan berusaha sebaik mungkin.
"Bagi saya semuanya memerlukan usaha dan saya pertaruhkan bakat sedia ada untuk mencuba bidang ini.
"Saya juga sedar perlu rajin dan mencari peluang supaya lebih dikenali dan syukur mendapat sambutan baik di TikTok," katanya.
Single pertama Qiem Churros yang berjudul Mengundang Pelangi telah dilancarkan pada September 2021, semakin mendapat perhatian dan serta mula dimainkan di beberapa stesen.
Mengenai saiz tubuhnya yang besar, anak kelahiran Pahang yang baru meraikan ulangtahun ke 20 pada Mac lalu tidak menganggap ia sebagai halangan. Baginya, yang penting dia sihat dan mampu memeriahkan arena seni suara dan mendapat sokongan peminat.
Sementara itu Aida Bahaman, 22, juga senada dengan Qiem yang percaya pada bakat nyanyian yang dimilikinya. Dia yang mewarisi bakat muzik dari ibu bapa dan keluarganya berkata, selain bakat perlu ada keberanian untuk mencuba.
Terbaharu, Aida telah tampil melancarkan single terbaru berjudul Dia pada 18 Mac lalu yang sudah boleh didengari di semua platform muzik beserta dengan video muziknya.
"Saya bersyukur akhirnya lagu dan video muzik ini dapat dilancarkan setelah tertangguh akibat pandemik Covid-19.
"Saya berharap terus diterima dan mendapat sokongan semua pihak untuk bergelar penyanyi," katanya.
Manakala penyanyi Farhan Maarob pula, baru sahaja menandatangani kontrak dengan pihak AABP Music dan masih lagi di dalam proses penyediaan lagu serta rangka promosi yang bakal dibuat tidak lama lagi.
"Kalau ikutkan saya sudah lama mencuba nasib cuma belum ada rezeki. Kali ini saya berharap akan lebih dikenali," katanya yang pernah muncul dengan single Sorry Naik Lori.
Kesemua mereka ditemui pada satu majlis kesyukuran anjuran AABP Music di Restoran Rebung baru-baru ini.
Comments