OPPO akan melancarkan siri telefon pintar premium terbarunya, Find X8 Series, bersama-sama sistem operasi ColorOS 15 dalam satu majlis pelancaran global yang akan berlangsung di Bali, Indonesia pada 21 November ini.
Siri Find X8 yang terdiri daripada Find X8 dan Find X8 Pro ini membawakan beberapa pembaharuan yang mengujakan. Model asas Find X8 hadir dengan reka bentuk nipis berketebalan 7.85mm dan berat hanya 193 gram, namun dikemas dengan kamera zum periskop yang canggih. Telefon pintar ini menawarkan skrin 6.59 inci dengan bingkai simetri ultra-nipis 1.45mm, dan boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Star Grey, Space Black dan Shell Pink.
Bagi Find X8 Pro pula, peranti ini dilengkapi skrin yang lebih besar iaitu 6.78 inci dengan kaca melengkung quad di kedua-dua sisi. Ia turut memperkenalkan sistem dwi-kamera telefoto periskop yang pertama kali ditawarkan OPPO di pasaran global. Model Pro ini dijual dalam dua pilihan warna - Space Black dan Pearl White, di mana setiap unit Pearl White mempunyai corak unik tersendiri.
Kedua-dua model Find X8 dan Find X8 Pro dilengkapi sistem kamera Hasselblad Master terbaharu dengan ciri AI Telescope Zoom yang mampu mengambil gambar pada jarak 10x zoom dan ke atas. Fungsi Lightning Snap pula membolehkan pengguna mengambil sehingga tujuh gambar sesaat tanpa mengorbankan kualiti.
Dari segi bateri, Find X8 dilengkapi bateri silikon-karbon berkapasiti 5630mAh manakala Find X8 Pro pula dengan 5910mAh. Kedua-dua model dikuasakan cip MediaTek Dimensity 9400 terbaharu yang menjanjikan prestasi lancar sepanjang hari.
Menurut Pete Lau, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Produk OPPO, "Siri Find X8 mengubah landskap industri dengan menawarkan telefon pintar berkamera hebat yang ringan dan nipis, dilengkapi dengan pelbagai ciri ultra termasuk bateri tahan lama dan teknologi zum periskop."
Pelancaran global Find X8 Series dan ColorOS 15 akan berlangsung pada jam 13:00 GMT+8. Orang ramai yang berminat boleh mendaftar di laman web rasmi OPPO untuk maklumat lanjut mengenai majlis pelancaran ini.
Untuk rekod, OPPO yang bermula dengan telefon pertamanya "Smiley Face" pada 2008, kini beroperasi di lebih 70 negara dengan 40,000 pekerja yang komited dalam menghasilkan teknologi terbaik untuk pengguna di seluruh dunia.
Comments