Industri hiburan negara akan kembali bergema dengan kehadiran One Love Music Festival 2024 yang akan berlangsung pada 21 Disember 2024 di Dewan A, MAEPS Serdang. Penganjur acara, Tuff KL, telah membuat pengumuman pada sidang media yang berlansung hari ini bagi memberi gambaran keseluruhan mengenai festival muzik 12 jam yang menjanjikan persembahan meriah daripada 12 artis tempatan dan antarabangsa yang terkenal.
Barisan artis yang akan menyemarakkan One Love Music Festival ini termasuk kumpulan popular seperti Kugiran Masdo, Hujan, Insomniacks, Bunkface, Drama Band, 53 Universe, dan pencetus irama Ska di Malaysia, kumpulan Gerhana Ska Cinta. Festival ini juga akan menampilkan persembahan daripada penyanyi-penyanyi popular seperti Feby Putri, Nadin Amzah, Nabila Taqiyyah, dan Salma Salsabil.
Menurut Muhammad Zul Aqil, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tuff KL, One Love Music Festival adalah cerminan kuat visi syarikat untuk menyatukan orang ramai melalui muzik dan komuniti.
"Sejak awal kami pada 2021, kami telah berkembang daripada menjual merchandise kepada penganjuran acara yang bukan sahaja menghibur tetapi juga memberi impak," ujar beliau.
Selain daripada barisan artis mengagumkan, festival ini juga menawarkan pelbagai pilihan struktur tiket, termasuk Early Bird (Berdiri) pada RM55, General Admission RM150, Rockzone pada RM169, dan pakej Meet & Greet eksklusif pada harga RM450 (terhad kepada 50 peminat). Tiket telah dibuka untuk jualan di laman sesawang www.ticketmelon.com/olmfest.
Dengan kerjasama rakan strategik seperti AirAsia MOVE, Cornerstone IPC, dan lebih 20 universiti awam dan swasta, Tuff KL yakin akan dapat mencipta pengalaman festival yang tiada tandingannya, serta meraikan kuasa muzik untuk menyatukan orang dari pelbagai lapisan masyarakat.
Comments