Cef selebriti Datuk Fazley Yaakob merupakan seorang figura yang verstil. Setelah menempa nama sebagai pelakon dan penyanyi, portfolio kareer terkininya sebagai seorang cef yang disegani seiring dengan usaha serta pencapaian yang dikecapi figura ini.
Terbaru, selepas bekerjasama dengan jenama rangkaian kopi terkenal, Starbucks, Datuk Fazley kini turut dilamar menjadi wajah istimewa kepada beberapa jenama F&B terkemuka lain seperti Tony Roma’s dan Manhattan's Fish Market.
Menolak dakwaan yang mengatakan beliau bersikap hidung tinggi dengan hanya memilih jenama-jenama terkenal untuk berkolaborasi, menurut Datuk Fazley dia terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan semua pihak.
Namun begitu, jelas Datuk Fazley lanjut dia mengakui agak tegas dalam meletakkan syarat untuk bekerjasama. Ini kerana dia mementingkan pemahaman serta idea yang ingin beliau tampilkan di dalam sesebuah produk jenama itu sebelum bersetuju dengannya.
Dedah Datuk Fazley, dia pernah ditawarkan untuk bekerjasama dengan beberapa jenama terkemuka antarabangsa namun terpaksa menolaknya kerana tidak mencapai kesepakatan idea bersama.
“
Jujur saya cakap, saya tidak memilih jenama besar atau kecil. Saya pernah bekerjasama dengan sekecil-kecil jenama sebagai contoh jumlah pengikut Instagram baru 9 orang dan saya pernah bekerjasama dengan jenama yang mempunyai jutaan pengikut.
“Bagi saya, bukan jenama yang saya cari tetapi ketelusan untuk bersama saya. Ada jenama besar lain yang ingin bekerjasama dengan saya tetapi bila saya bagi idea mereka tidak mahu saya ubah idea mereka. Syarat saya, nak bekerjasama kena benarkan saya masuk dapur dan nak guna muka saya semata-mata jarang saya terima.” kata Datuk Fazley
Tambahnya, jenama tersebut juga perlu terbuka untuk menerima sebarang pandangan daripadanya bagi tujuan penambahbaikan selain mengutamakan keserasian diantara kedua-dua belah pihak.
“Apabila memilih jenama, saya sangat terperinci dan tak akan ambil sembarangan . Yang pertama produk jenama itu perlu saya pernah rasa dan yakin. Kedua, mereka terbuka dengan idea yang diberikan oleh saya dan ketiga jenama itu perlu sudi untuk ditegur dan kritikan yang membina.
“Bermaksud, kalau saya bekerjasama dengan jenama-jenama tertentu dan saya rasa perlu ada penambahbaikan serta mereka terbuka menerima teguran tersebut, itu yang saya mahukan.
“Kolaborasi ini ibarat perkahwinan di antara dua pihak. Idea saya dan idea sebuah lagi pihak. Saya tidak boleh mengubah sesuatu yang sudah terkenal pada mereka. Kolaborasi memerlukan keserasian dan pemahaman.” katanya
Datuk Fazley ditemui ketika di majlis pratonton Ramadan Festive Blessing Tony Roma's baru-baru ini. Dalam kerjasama tersebut, beliau turut memperkenalkan beberapa menu hidangan istimewa Ramadan Tony Roma’s yang mendapat sentuhan peribadinya.
Comments