Dua nama besar dalam industri hiburan tanah air, Nabila Razali dan Bella Astillah, akhirnya bergabung bakat dalam single terbaru mereka yang bertajuk 'CACACA'. Single yang dilancarkan pada hari ini merupakan kolaborasi pertama antara dua penyanyi yang terkenal dengan pengaruh besar mereka di platform TikTok.
'CACACA' membawakan pendekatan pop yang segar dengan elemen tarian yang menggabungkan bakat unik kedua-dua artis ini. Lagu ciptaan Mage, Ja'a dari Faithful Publishing dan Ezra Kong dari Raksasa Studio ini mengangkat tema keyakinan diri dan kebebasan bersuara, diselangi dengan mesej tentang keseimbangan antara usaha dan takdir dalam mengejar impian.
Dalam sesi perkongsian bersama media, Nabila menyatakan bahawa lagu ini sangat bersesuaian dengan karakter dan vokal mereka berdua. "Alhamdulillah, kerjasama dengan Bella sangat lancar walaupun kami berdua mempunyai jadual yang padat. Adib Hussin selaku penerbit muzik sangat memahami karakter kami, memudahkan proses penyampaian lagu ini," ujar Nabila yang ketika ini sedang sarat mengandung.
Bella Astillah pula berkongsi pengalaman menarik semasa sesi rakaman. "Sebenarnya, kami pada mulanya diberitahu bahawa rakaman itu hanya untuk 'test key' sahaja. Rupanya, itu adalah rakaman sebenar! Nasib baik kami sudah bersedia dari segi melodi," kata Bella sambil ketawa.
Selain single audio yang kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music, video muzik rasmi turut dilancarkan serentak. Video ini menampilkan konsep visual yang penuh warna-warni dan koreografi bertenaga yang melengkapi tema lagu tersebut.
Universal Music Malaysia selaku penerbit yakin 'CACACA' akan menjadi fenomena baharu dalam industri muzik tempatan, dengan gabungan bakat dua artis yang masing-masing mempunyai pengikut setia mereka sendiri.
Nabila turut menyatakan kesediaannya untuk kolaborasi akan datang, namun buat masa ini, fokus utama beliau adalah untuk memastikan 'CACACA' dapat diterima dengan baik oleh peminat dan pendengar musik tempatan.
Comments