Malam separuh akhir Muzikal Lawak Superstar 2024 (MLS4) menyaksikan satu lagi persembahan yang memukau penonton dengan gabungan emosi dan gelak tawa yang menghiburkan. Acara realiti komedi popular ini terus menarik perhatian peminat setia rancangan hiburan tempatan.
Kumpulan Putehh sekali lagi berjaya meraih gelaran 'Gempak Superstar Of The Week' untuk minggu kedua berturut-turut dengan jumlah markah keseluruhan tertinggi sebanyak 69.19%. Persembahan mereka yang penuh dengan jenaka segar dan muzik yang menghiburkan berjaya menambat hati juri dan penonton.
Sementara itu Kumpulan Zuara memperoleh tempat kedua dengan pungutan markah (64.68%) dan diikuti Padie dengan pungutan markah (63.88%) serta Sarkas dengan pungutan markah (63.16%).
Salah satu momen yang paling menyentuh hati adalah apabila kumpulan Zuara berjaya membuatkan hos MLS4, AC Mizal menitiskan air mata dengan persembahan mereka yang penuh emosi. Persembahan mereka bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyentuh perasaan, menunjukkan kepelbagaian bakat yang ada dalam pertandingan ini.
Malam tersebut juga menyaksikan kumpulan Deroyan hampir gagal melangkah ke peringkat akhir, mengecewakan peminat setia mereka. Namun tuah masih berpihak kepada Has Arteh, Dewa Arteh dan Eric Fuzi kerana tiada penyingkiran berlaku di Minggu Separuh Akhir MLS 4, sekaligus membawa kelima-lima kumpulan ke pentas akhir yang mempunyai dua sketsa dan lokasi, bertemankan artis jemputan Istimewa dalam setiap kumpulan.
Peminat pastinya tidak sabar untuk menyaksikan siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara Muzikal Lawak Superstar 2024 pada 17 November ini. Dengan persembahan yang semakin mengujakan, episod kemuncak ini pasti tidak akan mengecewakan.
Comments