Misi Rahsia Inspektor Sani: Zizan Razak ‘Menyamar’ Masak Ayam Golek Dalam Dapur Goodday Musim Ke-2
- oleh Editor MYBUZZ
- 24 Feb 2026 12:20 pm
PUTRAJAYA – Program realiti drama masakan pertama di Malaysia, Dapur Goodday, kini kembali mewarnai kaca televisyen untuk musim kedua! Mula bersiaran sejak 18 Februari lalu, program ini ditayangkan setiap hari pada jam 5.30 petang menerusi saluran Astro Ria, Astro GO, dan portal Astro Gempak.
Menariknya, musim terbaharu ini menjanjikan kelainan apabila pelakon terkenal Zizan Razak kembali membawakan watak ikoniknya, Inspektor Sani dari filem pecah panggung Polis Evo, sebagai teraju utama.
Kali ini, peminat akan disajikan dengan jalan cerita yang mendebarkan namun menghiburkan apabila Inspektor Sani terpaksa menyamar sebagai penjual makanan di Kampung Hari Baik. Misi rahsianya adalah untuk menjejaki Capik, seorang dalang sindiket dadah licik yang pakar dalam penyamaran.
Dibantu oleh pegawai polis Gen Z bernama Ain, Sani menggunakan resepi tularnya sebagai ‘senjata rahsia’ untuk memenangi hati penduduk kampung, meraih kepercayaan mereka, dan mengorek maklumat penting.

Selain Zizan, program 30 minit ini turut dimeriahkan dengan penampilan watak-watak popular Astro yang lain seperti Saiful dari Senariounion (Saiful Apek), Chao dari Polis Evo (Michael Ang), ASP Farouk (Fauzi Nawawi) dan ramai lagi.
Bukan sekadar hiburan di skrin, Dapur Goodday terus mengekalkan konsep interaktif mereka iaitu ‘Tengok Hari Ini, Esok Boleh Beli’. Konsep ‘dari skrin ke pinggan’ ini membolehkan penonton menikmati hidangan sebenar yang ditonton di televisyen dengan membelinya secara terus di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya pada keesokan harinya. Lebih istimewa, menu di bazar tersebut akan bertukar setiap hari berdasarkan resipi yang dipaparkan dalam episod harian tersebut.
Setiap resipi yang dihasilkan di dalam rancangan ini menggunakan susu Goodday sebagai bahan utama yang menyedapkan lagi juadah berbuka puasa. Menu tumpuan untuk musim ini ialah ‘Ayam Golek Tertumpah Susu’, sebuah hidangan yang diinspirasikan daripada cita rasa tempatan dan disempurnakan dengan kelemakan susu Goodday.

Berita baik untuk pengunjung bazar, hidangan istimewa ini ditawarkan pada harga promosi yang tidak masuk akal iaitu serendah RM0.99 untuk seekor ayam sepanjang dua hari pertama Ramadan!
Sementara itu, kehangatan program ini turut dirasai apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, telah membuat lawatan istimewa ke tapak bazar Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani sempena pelancaran rasmi Festival Ramadan Putrajaya 2026.
Beliau bersama-sama barisan pelakon termasuk Zizan Razak, Isyariana, Saiful Apek, dan Fauzi Nawawi turut mengedarkan 300 kotak susu Goodday tajaan kepada pengunjung bagi memeriahkan lagi suasana festival.
