Selepas berjaya melengkapkan sesi ujibakat di tiga lokasi utama, Kuantan, Pulau Pinang dan Johor Bahru baru-baru ini, usaha program pencarian bakat komedi, “Awesome Raja Lawak” bakal melabuhkan tirainya di lokasi terakhir, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Sabtu dan Ahad ini, 25 dan 26 Jun 2022.
Kaunter pendaftaran akan dibuka seawal 8.00 pagi dan Awesome TV mengalu-alukan kedatangan warga Lembah Kelang untuk tampil mempersembahkan bakat jenaka masing-masing dan mengambil hati barisan juri uji bakat yang terdiri dari pemain industri popular tanah air.
Menggalas tugas juri uji bakat untuk sesi Sabtu, 25 Jun 2022 adalah pelawak terkenal, Ali Puteh dan Atu Zero, manakala pelawak otai, pelakon dan penyanyi, Azlee Senario bakal bergandingan bersama Ajak Shiro untuk menduduki kerusi juri pada sesi hari Ahad, 26 Jun 2022.
Selain itu, pelawak Chiwan dan Nizam Jentik-Jentik turut hadir bagi memeriahkan suasana sebagai hos uji bakat. Tugasan hos ini digalas kedua-dua mereka di setiap lokasi ujibakat dan keserasian yang tercetus di antara Chiwan dan Nizam ternyata berjaya membuatkan peserta mahupun penonton yang hadir terhibur dengan lawak spontan mereka. Ini merupakan gabungan sulung Chiwan dan Nizam.
Sama seperti di Kuantan, Pulau Pinang dan Johor Bahru, barisan juri uji bakat akan menilai calon peserta berdasarkan beberapa kriteria pemilihan seperti tahap kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti, bakat dan kemahiran lakonan dan sama ada peserta berpotensi diketengahkan sebagai pelawak terkenal.
Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, “Alhamdullilah, kami begitu gembira kerana sesi jelajah pencarian bakat “Awesome Raja Lawak” kini di lokasi terakhir iaitu di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada hujung minggu ini.
"Keterujaan kami berganda apabila melihat kepada sambutan di tiga lokasi pertama, Kuantan, Pulau Pinang dan Johor Bahru begitu menggalakkan. Kehadiran ratusan peserta dari setiap sudut negeri secara tidak langsung menandakan segmen komedi tetap menjadi genre hiburan pilihan utama masyarakat." ujar Ezzan.
Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007, platform ‘Raja Lawak’ terbukti berjaya mencetuskan fenomena tersendiri dalam industri seni tanahair dan sudah melahirkan ramai pelawak versatil seperti Nabil Ahmad, Jihan Muse, Johan, Zizan Razak, Sepahtu, Shiro, Zero serta ramai lagi.
Penyertaan adalah terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia dan Singapura yang berumur 18 tahun ke atas dan mestilah mempunyai bakat dan minat di dalam bidang komedi.
Calon peserta bebas memilih untuk menyertai pertandingan ini secara solo, duo atau trio. Setiap yang hadir juga perlu membuat persembahan pentas secara spontan untuk menarik perhatian juri dalam tempoh maksima tiga minit.
Kaunter pendaftaran bagi sesi uji bakat di setiap lokasi akan dibuka dari jam 8.00 pagi dan calon peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan. Mereka yang berminat perlu membawa salinan kad pengenalan atau pasport untuk warga Singapura serta gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) atau ukuran pasport.
“Awesome Raja Lawak” bakal bersiaran di secara eksklusif di Awesome TV menerusi platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) bermula Ogos kelak. Butir-butir lanjut mengenai program ini akan diumum pada sidang media akan datang.
Comments