top of page
Writer's pictureMYB

Mentor Usahawan, Dr Azizan Bantu Bimbing Datuk Red Lunas Hutang RM7 Juta


Simpati atas nasib yang dialami oleh Datuk Seri Adenan Abu Bakar, 46 atau dikenali sebagai Datuk Red, mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Hj Azizan Osman hari ini secara rasminya mengumumkan bantuan bimbingan perniagaan buat beliau.



Ketika ditemui di majlis sambutan hari Raya Aidilfitri di kediaman keluarganya, Dr Azizan menjelaskan bahawa beliau rasa terpanggil untuk memberi bantuan bimbingan buat Datuk Red selepas melihat siaran ‘live’ di aplikasi Tiktok milik beliau.


“Saya pernah gagal dalam perniagaan pada tahun 1998, pada ketika itu saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri tetapi semuanya gagal, saya juga pernah menggadaikan rumah kediaman emak saya sendiri hanya untuk mendapatkan pinjaman”, katanya.


Berkongsi pengalaman jatuh bangun hidupnya, Pengasas Richworks International ini menyatakan bantuan bimbingan ini dapat direalisasikan dengan kerjasama Him Wellness Clinic, Dr. Samhan yang juga seorang pempengaruh terkenal.


“Saya yakin dengan kerjasama ini, Datuk Red dapat bangkit semula dan mencapai jualan pertamanya sebanyak RM1 Juta dalam tempoh tiga bulan dan seterusnya dapat melunaskan hutang sebanyak RM7 Juta dalam masa tiga tahun”, kata Dr. Azizan.


Datuk Red ketika ditemui semasa majlis menandatangani perjanjian ‘partnership ambassador’ bagi produk minuman kesihatan keluaran Dr. Samhan, menzahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan oleh mereka.


“Saya sangat berterima kasih kepada Dr. Azizan dan Dr. Samhan atas kesudian untuk memberi bimbingan kepada saya dan peluang kolaborasi dalam perniagaan”, katanya.


Datuk Red turut menyatakan rasa terharu diatas keprihatinan rakyat Malaysia yang sudi memberikan ‘gift’ semasa menonton sesi ‘live’ beliau di Tiktok.

“Rakyat Malaysia sangat pemurah hati, saya terima pelbagai jenis ‘gift’ ketika siaran live tetapi saya tidak mahu menjana pendapatan hanya dengan menerima pemberian orang ramai, ketika Dr. Azizan

menawarkan bantuan saya terus terima kerana niat saya hanya untuk melunaskan semua hutang yang tertunggak dan menyara anak- anak serta keluarga saya”.



Selasa lalu, Datuk Red mendedahkan bahawa dirinya telah diisytiharkan muflis sejak 5 tahun yang lalu selepas syarikat hartanah dan perumahan yang diusahakan olehnya tidak lagi beroperasi sejak tahun 2019.


Dr Azizan dalam sesi temu bual berkata Richworks tidak memilih individu tertentu dalam memberi bantuan bimbingan tetapi ianya terbuka kepada semua yang memerlukan.

0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page