Malam gala tayangan filem terbaru arahan sutradara tersohor Kyrgyztan, Ruslan Akun, "Syurga di Bawah Telapak Kaki Ibu" atau "Paradise at Mother's Feet" telah berlansung baru-baru ini di TGV One Utama dengan dihadiri tetamu terdiri dari wakil kedutaan Kyrgyztan dan peminat-peminat filem tempatan. Filem ini telah mula ditayangkan kepada umum bermula 13 Februari 2025.
![Menelusuri Perjalanan Penuh Makna Dalam Paradise at Mother's Feet](https://static.wixstatic.com/media/50a2d9_7935a704bfac402da9a34962b5481f0b~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_1741,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/50a2d9_7935a704bfac402da9a34962b5481f0b~mv2.jpg)
Ruslan Akun, yang juga merupakan penulis skrip filem ini, sebelum ini telah menghasilkan karya-karya cemerlang seperti "Salam, New York!" (2013), Herding (2014) dan "Kok boru: Time Persistent" (2018), sekali lagi berjaya menghasilkan sebuah karya yang menggabungkan unsur kemanusiaan, kasih sayang, dan perjalanan spiritual yang mendalam.
Filem yang telah membuat penampilan perdananya di Bishkek pada Mac 2024 ini menampilkan lakonan hebat Emil Esenaliev sebagai Adil dan Anarkul Nazarkulova sebagai Rayhan. Lakonan cemerlang mereka berdua berjaya memberikan dimensi emosi yang kuat kepada watak masing-masing dalam menjayakan keseluruhan jalan cerita filem ini.
"Paradise at Mother's Feet" mengisahkan Adil, seorang lelaki Kyrgyz berusia 35 tahun dengan perkembangan mental seperti kanak-kanak berusia 8 tahun, tinggal di sebuah kampung kecil di Kyrgyzstan bersama Rayhan, ibunya yang berusia 75 tahun. Rayhan selalu memberitahu Adil bahawa Tuhan mencintainya dengan cara yang istimewa dan bahawa dia akan terus ke Syurga. Namun, Adil tidak mahu pergi ke Syurga tanpa ibunya. Suatu hari, dia belajar dari sahabat baiknya yang berusia 8 tahun bahawa jika dia membawa ibunya berjalan kaki ke Kota Suci Mekah untuk Haji, ibunya juga akan pergi ke Syurga. Bermula dari detik itu Adil tekad untuk membawa ibunya ke Mekah dengan menggunakan sebuah kereta tarik.
![Menelusuri Perjalanan Penuh Makna Dalam Filem Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu](https://static.wixstatic.com/media/50a2d9_244a3a9345784699bc74af660e35cb75~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/50a2d9_244a3a9345784699bc74af660e35cb75~mv2.jpg)
"Paradise at Mothers' Feet" adalah sebuah cerita yang mengharukan dan menginspirasi tentang kekuatan kasih sayang seorang anak terhadap ibunya dan bagaimana kebaikan dan hati terbuka orang-orang dari pelbagai bangsa dapat membantu manusia mengatasi banyak masalah dan kesulitan yang dihadapi dalam hidup.
Perjalanan mereka ke Mekah menggambarkan pengorbanan dan dedikasi seorang anak kepada ibunya. Filem ini bukan sekadar perjalanan fizikal tetapi juga perjalanan rohani. Ia menggambarkan kepercayaan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup, menjadikannya sebuah kisah yang penuh inspirasi.
![Menelusuri Perjalanan Penuh Makna Dalam Filem Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu](https://static.wixstatic.com/media/50a2d9_ef7b2f94477442d0b39923b8209d097b~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/50a2d9_ef7b2f94477442d0b39923b8209d097b~mv2.jpg)
Filem ini juga menggabungkan elemen-elemen keagamaan dan budaya yang mendalam, memberikan penonton pandangan yang lebih luas tentang kehidupan dan kepercayaan masyarakat Kyrgyzstan. Penggambaran filem ini dilakukan di tujuh negara berbeza di Asia Tengah, termasuk Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, dan Turki menonjolkan pemandangan yang indah dan berwarna-warni. Setiap lokasi ditampilkan dengan keindahan tersendiri, menambah nilai estetika kepada filem ini.
Selain itu , filem ini turut menggunakan pelbagai bahasa seperti Kyrgyz, Arab, Azerbaijan, Kazakh, Rusia, Turki, dan Uzbek. Ini mencerminkan kepelbagaian budaya dan etnik yang ditemui sepanjang perjalanan mereka. Walaupun tempoh tayangan agak panjang, filem ini diseimbangkan dengan beberapa babak komedi yang menyegarkan.
Secara keseluruhan filem ini berjaya membawa mesej universal tentang kasih sayang ibu yang tidak berbelah bahagi dan kekuatan iman dalam mengharungi cabaran kehidupan, sambil memperkenalkan keindahan budaya Asia Tengah kepada penonton Malaysia. Jadi jangan lupa untuk ke panggung dan menonton filem ini sekiranya anda sayangkan ibu anda. Jangan lupa untuk bawa tisu!
Comments