KUALA LUMPUR - Ikon ibu kota, Menara Kuala Lumpur kini tampil dengan inisiatif baharu apabila menara setinggi 421 meter itu akan diterangi dengan lampu hijau sebagai penanda masuknya waktu solat Maghrib dan Isyak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Inisiatif unik ini terlahir hasil inspirasi daripada majlis pelancaran azan baharu yang dianjurkan bersama Media Prima Berhad. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Nazli Saad, kerjasama dengan Media Prima termasuk rangkaian TV3, TV9, dan Tonton ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuhkan nilai-nilai murni dalam masyarakat.
"Pencahayaan hijau ini merupakan pendekatan mudah tetapi bermakna dalam memberi inspirasi kepada masyarakat untuk bermuhasabah dan mengeratkan hubungan sesama komuniti," kata beliau.
Selain itu, pihak Menara Kuala Lumpur turut mengumumkan beberapa program yang bakal dianjurkan sepanjang tahun 2025, antaranya Majlis Cerapan Rasmi Anak Bulan Ramadan dan Syawal, Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2025, serta program berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan di Dari Dapur TEMU.
Sebagai rekod, Menara Kuala Lumpur yang terletak di Bukit Nanas merupakan menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia. Menara ini yang juga merupakan ahli 'The World Federation of Great Towers' kini turut mempunyai restoran berputar baharu, ARAS, yang mula beroperasi pada 29 Januari 2024.
Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan di Restoran ARAS boleh menghubungi talian +6011 2888 2020 atau menghantar emel ke aras@kltower.com.my.
Comments