Setelah hampir tiga dekad menunggu, Menara KL bakal menghidupkan kembali kemeriahan sambutan ambang Tahun Baru 2025 dengan persembahan bunga api berskala besar yang mengagumkan, menandakan ulang tahun ke-28 sejak persembahan terakhir pada tahun 1996.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL Sdn. Bhd., Encik Nazli Bin Saad, sambutan istimewa ini merupakan detik bersejarah bagi mercu tanda ikonik ini. "Sejak tahun 1996, Menara KL telah menjadi simbol kemajuan dan keceriaan Kuala Lumpur. Kami amat berbesar hati untuk mengembalikan persembahan bunga api ini selepas 27 tahun," ujar beliau.
Para pengunjung berpeluang menyaksikan dua persembahan bunga api yang menakjubkan selama lima minit dari Tower Terrace dan Aras TH07. Sambutan akan dimulakan seawal jam 9 malam dengan persembahan muzik langsung oleh Sky Band yang akan memeriahkan suasana sehingga detik kiraan menjelang tahun baru 2025.
Tiket berharga RM88 seorang termasuk pek parti dan hidangan ringan. Harga ini memberi peluang kepada pengunjung untuk meraikan detik tahun baharu dari salah satu lokasi terbaik di Kuala Lumpur.
Orang ramai yang berminat boleh menempah tiket melalui talian +603-2020 5421 atau laman web rasmi kltower.com.my. Untuk maklumat terkini, pengunjung boleh mengikuti akaun rasmi Menara KL di Facebook, Instagram dan TikTok melalui @menarakl.
Dengan kapasiti yang terhad, orang ramai dinasihatkan untuk membuat tempahan awal bagi mengelakkan kekecewaan dan tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk menyaksikan detik bersejarah di mercutanda ikonik Malaysia ini.
Commenti