Malaysian Bumiputera Designers Association (MBDA), sekali lagi mengorak langkah dalam mempromosikan produk tempatan melalui penganjuran Kempen Beli Barangan Malaysia 2024 yang dianjurkan dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Kempen ini diadakan bersempena dengan penganjuran edisi keempat acara My Gaya Month (MGM) yang merupakan satu inisiatif tahunan yang bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyokong dan membeli barangan buatan tempatan khusus bagi segmen fesyen.
Majlis pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, YBhg. Datuk Seri Mohd Sayuthi Bin Bakar. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penaung Malaysian Bumiputera Designers Association (MBDA), YBhg. Dato' Indera Tom Abang Saufi serta Presiden MBDA yang juga merupakan pereka fesyen terkenal, Bon Zainal.
Kempen Beli Barangan Malaysia 2024@MGM ini berlansung di Pusat Beli Belah Pavilion Damansara Heights mulai 7 Oktober 2024 selama sebulan. Acara My Gaya Month (MGM) tahun ini mengangkat tema #GayaMalaysia dengan menggabungkan seramai 30 pereka fesyen tempatan bagi menjayakan acara tahunan ini.
My Gaya Month (MGM) yang berlangsung selama sebulan ini turut menampilkan pelbagai acara menarik termasuk pameran dan jualan produk fesyen serta forum fesyen dan perniagaan bersama usahawan fesyen tempatan yang berjaya.
Selain itu pelbagai aktiviti menarik lain seperti bengkel melukis batik, sesi tutorial fesyen hijab serta pertunjukan fesyen telah disusun sebagai tarikan buat orang ramai . Selain itu, terdapat juga diskaun istimewa dan promosi eksklusif untuk item yang dipamer dan dijual sepanjang kempen ini berlansung.
Penaung MBDA, YBhg. Dato' Indera Tom Abang Saufi, menyatakan bahawa kempen ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan jualan jenama fesyen tempatan, tetapi juga untuk memupuk rasa bangga terhadap jenama fesyen rekaan pereka Malaysia.
“Dengan menyokong jenama fesyen tempatan, kita bukan sahaja membantu ekonomi negara, tetapi juga memberi peluang kepada pereka fesyen tempatan untuk berkembang dan bersaing di peringkat global,” katanya.
Presiden MBDA, Bon Zainal pula memberitahu penganjuran Kempen Beli Barangan Malaysia 2024@MGM bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan keyakinan serta memupuk semangat patriotism rakyat Malaysia. Selain itu kempen ini turut membantu untuk meransang pembangunan ekonomi selain menyokong jenama pengusaha dan pereka tempatan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. Kempen ini juga turut membantu memperkukuh kelestarian dalam Industri fesyen bersama MBDA.
Kempen Beli Barangan Malaysia 2024 diharapkan dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyokong produk tempatan dan seterusnya membantu memperkukuhkan ekonomi negara. Marilah kita bersama-sama memartabatkan produk fesyen buatan Malaysia dan menyokong pereka tempatan!
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila layari laman web rasmi MBDA atau ikuti media sosial mereka.
Comments