top of page
Writer's pictureMYB

Malaysia Muncul Juara Saingan eRacing GP Kejuaraan eSports Asia Tenggara (SEAEC)

Malaysia berjaya mendominasi perlumbaan simulator yang diadakan buat julung kalinya pada Kejuaraan eSports Asia Tenggara (SEAEC) yang berlangsung semalam apabila wakil negara mengungguli saingan individu dan juga berpasukan.



Dalam saingan individu, wakil negara Naquib Azlan mendahului seawal perlumbaan pertama. Beliau diberi cabaran hebat dari wakil Filipina, Inigo Anton yang berada di tempat kedua manakala adik Naquib iaitu Nabil berada di tempat ketiga.


Walaubagaimanapun, tuah memihak kepada pasangan adik beradik itu apabila Anton mengalami masalah tayar dan memaksanya ketinggalan jauh apabila dipintas oleh Nabil dan pelumba dari Singapura, Dillan Tan. Insiden itu sekaligus membawa Naquib dan Nabil meraih tempat pertama dan kedua.


Perlumbaan kedua pula menampilkan aksi yang sengit apabila pelumba Indonesia, Andika Rama Maulana dan Ar Muhammad Aleef dari Singapura mengekori rapat Anton dalam perlumbaan sengit yang menyaksikan 10 jentera bersaing rapat pada awal perlumbaan.


 eRacing GP Kejuaraan eSports Asia Tenggara (SEAEC)
Naquib dan Nabil sekali lagi melakar kejayaan penamat satu dua selepas cemerlang mengatasi lawan mereka.

Namun, Naquib yang bermula sedikit perlahan berjaya mengorak langkah dengan menduduki tempat kelima serta strategi hentian pit yang dilakukan beliau ternyata berkesan apabila berjaya merampas kedudukan pendahulu disusuli pelumba Indonesia, Fadhli Rachmat di tempat kedua dan Nabil Azlan meraih tempat ketiga.


Selepas kiraan mata dilakukan di dalam kategori individu, Naquib dinobatkan sebagai juara sementara Nabil meraih kedudukan kedua manakala Rachmat berpuas hati sekadar di tempat ketiga.


“Kami hilang kata-kata. Memang kami ada semangat dan motivasi sebelum perlumbaan. Kami berkongsi tanggungjawab yang sama untuk membawa cabaran jalur gemilang pada perlumbaan ini dan kami berjaya melakar kejayaan.” Naquib Azlan, Pelumba eRacing GP

Pasangan adik beradik itu juga cemerlang di dalam acara berpasukan apabila Naquib dan Nabil sekali lagi melakar kejayaan penamat satu dua selepas cemerlang mengatasi lawan mereka di dalam perlumbaan yang berlangsung selama 40 minit.


Menurut Nabil, “Sasaran kami adalah untuk tidak pulang dengan kekecewaan dan melakukan yang terbaik untuk negara. Saya bangga kerana dapat berlumba bersama abang saya. Banyak yang saya belajar menerusi perlumbaan kali ini."


Alex Yoong
Alex Yoong

Bagi bekas pelumba satu negara yang juga pengasas eRacing GP, Alex Yoong, beliau berbangga dengan kejayaan penglibatan eRacing GP bagi Kejuaraan SEAEC 2022. Katanya, “Saya sangat teruja dengan adanya eRacing untuk pertandingan ini.


Negara-negara bertanding juga mempamerkan aksi yang mantap dan saya mahu melihat pelumba dari rantau ini bersaing dengan para pelumba handalan dunia kelak.

Kejayaan Naquib dan Nabil itu sekaligus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah $10,000


0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page