Kuala Lumpur - Malaysia sekali lagi menyaksikan perhimpunan bakat-bakat vokal terbaik dunia apabila peringkat akhir Pertandingan Vokal Antarabangsa ke-12 yang dianjurkan oleh Hong Kong International Musician Association (IMA) membuka tirainya bermula pada 17 sehingga 21 Januari 2025 di beberapa lokasi terpilih di ibu negara.
Acara berprestij yang mendapat sokongan ASWARA dan Kementerian Kebudayaan ini mengetengahkan pelbagai kategori termasuk nyanyian opera, lagu rakyat, teater muzikal serta lagu popular. Program lima hari ini berlangsung di tiga lokasi utama iaitu Dewan Orkestra ASWARA, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan Dewan Filharmonik PETRONAS.
Kemuncak program ini merupakan konsert istimewa yang telah berlansung semalam, 19 Januari yang menampilkan persembahan dari barisan finalis, juri dan artis antarabangsa tersohor. Konsert yang berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS ini mengetengahkan persembahan eksklusif termasuk karya-karya klasik seperti "Tu che le vanita" dari opera Don Carlos oleh Verdi dan "Questo amor, vergogna mia" dari Le Villi oleh Puccini.
Program tahun ini turut menawarkan siri kelas bersama pakar (masterclass) dan bengkel yang akan dikendalikan oleh tokoh-tokoh terkenal dalam industri, termasuk Prof. Nancy Yuen dan Perry Martin. Peserta akan mendapat peluang keemasan untuk menimba ilmu dalam pelbagai aspek termasuk teknik vokal, persembahan opera, dan pembangunan kerjaya.
"Pertandingan tahun ini membawakan dimensi baharu dengan pengenalan kategori khas seperti lagu rakyat Cina dan lagu kanak-kanak Malaysia, sekaligus memperkenalkan kepelbagaian budaya Asia kepada pentas antarabangsa," jelas Dr. Jye Lee, Ketua Pegawai Eksekutif, Hong Kong International Musician Association.
Program ini turut menyediakan platform istimewa untuk bakat muda melalui kategori khas untuk kanak-kanak dan remaja, membuktikan komitmen penganjur dalam memupuk generasi baharu penyanyi berkualiti. Pertandingan Vokal Antarabangsa ke-12 anjuran Hong Kong International Musician Association (IMA) menyediakan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000.
Comments