Ikuti Kami:

Latar Tamil Ke Melayu: Pengarah Viknes Perrabu Sahut Cabaran Hasilkan Filem Cereka Melayu Menerusi ‘The Keris’

Latar Tamil Ke Melayu: Pengarah Viknes Perrabu Sahut Cabaran Hasilkan Filem Cereka Melayu Menerusi ‘The Keris’

KUALA LUMPUR – Semua orang tahu kisah Keris Taming Sari yang menjadi lagenda, tetapi di manakah hilangnya Keris Tempa Melaka kepunyaan asal laksamana tersohor, Hang Tuah? Persoalan misteri inilah yang menjadi tunjang utama sebuah naskhah aksi warisan terbaharu di pawagam tanah air bertajuk ‘The Keris’.

Malam gala tayangan filem itu berlansung baru-baru ini di GSC Mid Valley dan telah dihadiri oleh barisan para pelakon, pengarah, penerbit, selebriti, tetamu VIP serta peminat-peminat filem melayu yang dijemput secara eksklusif sebelum filem ini ditayangkan kepada umum.

Menerusi filem terbitan Mathe’s Production House Sdn. Bhd. ini, penonton bakal disajikan dengan plot penceritaan luar biasa apabila senjata pusaka warisan bangsa itu secara tiba-tiba menjadi buruan antarabangsa oleh kumpulan mafia dari Rusia.

Latar Tamil Ke Melayu: Pengarah Viknes Perrabu Sahut Cabaran Hasilkan Filem Cereka Melayu Menerusi ‘The Keris’

‘The Keris’ mengisahkan tentang ketua mafia Rusia, John Marverick, menggunakan taktik mendaftarkan anaknya, John Vickey (seorang jaguh Muay Thai) ke sebuah kejohanan seni mempertahankan diri di Malaysia. Namun, di sebalik perlawanan tersebut, rakan kongsinya, Mr. Samuel, mempunyai agenda gelap tersendiri. Mereka sanggup terbang jauh demi menjejaki Pak Hassan, seorang lelaki yang didakwa sebagai pemegang rahsia dan penyimpan Keris Tempa Melaka yang asli. Kononnya, sesiapa yang memiliki keris ini bakal memperoleh kelebihan misteri untuk menjadi individu yang paling berpengaruh dan berkuasa di dunia.

Ketika ditemui media, penerbit filem ‘The Keris’, Dr. Matheyalagan meluahkan rasa bimbang apabila mendapati segelintir generasi muda hari ini semakin melupakan sejarah tokoh-tokoh penting seperti Hang Tuah dan para sahabatnya. Didorong atas rasa tanggungjawab anak watan, beliau mengambil inisiatif menghasilkan filem ini bagi menghidupkan semula seni persilatan melampaui zaman.

Lebih mengagumkan, Dr. Matheyalagan sanggup menggunakan dana dan wang ringgitnya sendiri tanpa menerima sebarang tajaan luar mahupun dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Walaupun beliau berbangsa India, perkara itu bukan satu sempadan. Beliau yang membesar di kawasan kampung bersama rakan-rakan Melayu menganggap naskhah kebudayaan ini sebagai satu penghormatan tertinggi kepada warisan negara.

“Bagi saya, naskhah ini mempunyai kelainan tersendiri kerana mengabungkan dua latar masa yang berbeza iaitu era moden dan zaman silam Hang Tuah,” jelasnya mengenai filem yang sarat dengan aksi lagak ngeri dan seni bela diri moden ini.

Latar Tamil Ke Melayu: Pengarah Viknes Perrabu Sahut Cabaran Hasilkan Filem Cereka Melayu Menerusi ‘The Keris’

15 tahun buat filem Tamil, sutradara Viknes Perabbu (VP) kini cabar diri dengan penghasilan filem cereka ‘The Keris’

 

Sementara itu, tugas mengarah filem ini pula digalas oleh sutradara Viknes Perrabu, yang mengambil keputusan berani untuk meneroka industri perfileman Melayu setelah 15 tahun membina nama dalam penghasilan filem-filem berbahasa Tamil.

Bagi memastikan kualiti teks, visual, dan adat melayu terpelihara, pihak produksi melakukan penyelidikan mendalam dengan penglibatan pengarah dan penulis skrip berpengalaman, Datuk Zulkiflie M. Osman.

Viknes mengakui proses mengarahkan pelakon Melayu memberikan cabaran besar daripada sudut komunikasi memandangkan beliau sudah terbiasa memberi arahan dalam bahasa Tamil. Walau bagaimanapun, kehadiran pelakon-pelakon veteran banyak membantu memudahkan urusan di set penggambaran.

Latar Tamil Ke Melayu: Pengarah Viknes Perrabu Sahut Cabaran Hasilkan Filem Cereka Melayu Menerusi ‘The Keris’

Filem The Keris, yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 2 Julai 2026, menampilkan gabungan mantap antara bakat-bakat baharu dan pelakon berpengalaman yang telah lama mewarnai industri perfileman tempatan. Kombinasi ini memberikan keseimbangan dari segi tenaga baharu serta kredibiliti lakonan, sekali gus menjadikan karya tersebut lebih menarik untuk ditonton.

Barisan pelakon utama filem ini diterajui oleh Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa dan Raja Azrey, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam menghidupkan jalan cerita yang sarat dengan elemen sejarah, aksi dan budaya Melayu. Mereka membawa watak-watak yang terlibat dalam konflik membabitkan Keris Tempa Melaka, sekaligus memacu perkembangan naratif dari awal hingga akhir.

Latar Tamil Ke Melayu: Pengarah Viknes Perrabu Sahut Cabaran Hasilkan Filem Cereka Melayu Menerusi ‘The Keris’

Turut memperkukuhkan lagi kekuatan naskhah ini ialah kehadiran pelakon veteran tersohor, Datuk Jalaluddin Hassan, yang memegang watak penting dalam penceritaan. Pengalaman dan kredibiliti beliau sebagai antara pelakon paling dihormati dalam industri tempatan memberikan nilai tambah yang besar kepada keseluruhan filem.

Lebih menarik, ‘The Keris’ turut menampilkan satu kejutan istimewa menerusi kemunculan cameo Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Penampilan khas tersebut pastinya menjadi antara tarikan tambahan buat penonton, selain menambahkan elemen unik kepada filem yang mengangkat warisan, sejarah dan semangat kepahlawanan Melayu ini.

Ulasan Ringkas Kritikan Filem:
The Keris berjaya mengimbangi elemen komersial antarabangsa (mafia luar negara) dengan nilai mistik tempatan tanpa kelihatan janggal. Keputusan mengupas nasib Keris Tempa Melaka—dan bukannya Taming Sari yang sudah klise—adalah satu anjakan skrip yang segar. Bagi peminat filem aksi tempatan yang rindukan seni silat lurus yang digabungkan dengan koreografi aksi moden, naskhah ini wajib tonton!

Loading...