Kemenangan dua sumandak Sabah iaitu Marsha Milan Londoh dan Stacy Anam pada Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) yang berlangsung semalam memberikan momen dan makna tersendiri.
Tidak keterlaluan andai dikatakan ada rasa sebak yang bersarang saat melihat kedua-duanya melangkah naik ke pentas gah itu.
Marsha sempat diajukan soalan mengenai kemenangan besarnya menerusi persembahan terbaik dan tempat kedua dengan pertaruhan lagu Cinta karya Akim Ahmad dan Stacy itu semasa berlansungnya majlis sidang media AJL 36 di World Trade Centre, Kuala Lumpur.
"Kunfaya kun, apabila Allah izinkan Alhamdulillah terjadi. Jujurnya saya berdepan dengan banyak ujian termasuk Dijangkiti Covid-19 sebelum ini," katanya.
Marsha berkata susunan lagu oleh Genervie Kam berkenaan memang seperti apa yang dimahukannya serta mendapat restu Akim dan Stacy.
Baginya, syukur semua menjadi dan rezeki berpihak kepadanya yang mendedikasikan lagu berkenaan buat arwah bapa mertua.
Air mata Marsha juga gugur sebaik dimaklumkan bahawa ketua juri AJL36 Datuk Mokhazani Ismail memberitahu persembahan penyanyi itu melonjakkan lagu cinta ke kedudukan naib juara.
"Allahuakbar, semua ini rezeki dan hikmah buat saya. Syukur sangat-sangat. Kejayaan ini hadir selepas saya mencuba beberapa kali," katanya sambil menyeka air mata.
Stacy dan Akim juga masing-masing mengakui Marsha menjadikan Cinta begitu indah dan lagu karya mereka menjadi gah.
"Kami hanya datang tanpa harapan dan percaya Marsha mampu melakukan persembahan terbaik. Jujurnya bila tengok persembahan Marsha saya jadi yakin dan mula betulkan rambut kerana macam akan naik ke pentas," kata Stacy tertawa.
Akim berkata, Mereka memang sudah gembira serta puas hati dengan persembahan Marsha dan kemenangan yang dicapai menjadi satu bonus.
Vokalis kumpulan Akim & The Majistret itu berkata, lagu Cinta memang karya yang dibuat khas untuk Marsha.
Sempat mengusik Stacy akhirnya dia naik ke pentas selepas beberapa kali gagal meskipun memberikan persembahan menarik dan bertenanga.
Bagi suri di hati Akim ini, semuanya perancangan Allah yang mahu memberikan rezeki pada masa terbaik buat dirinya.
"Saya bersyukur kerana Allah berikan rezeki buat saya pada saat dan masa yang lebih baik, saya juga sekali lagi berterima kasih kepada Marsha," katanya.
Comments