Dalam satu pengumuman yang berlansung hari ini di ibu negara, kumpulan rap legenda KRU bakal mencipta sejarah baharu apabila konsert solo mereka, GENKRU, akan berlangsung selama tiga malam di Axiata Arena, Kuala Lumpur.
Fenomena ini bermula apabila tiket untuk persembahan pertama pada 3 Mei 2025 habis dijual dalam masa sejam sahaja. Sambutan yang luar biasa ini mendorong penganjur, ICON Entertainment, untuk menambah satu lagi persembahan pada 4 Mei 2025, yang juga mencatatkan rekod apabila kesemua tiket laris dalam masa 45 minit.
Atas permintaan yang tinggi daripada peminat yang masih belum berkesempatan mendapatkan tiket, trio Norman, Yusry dan Edry telah bersetuju untuk mengadakan persembahan ketiga pada 10 Mei 2025.
Pengasas ICON Entertainment, Iman Tang berkata, "Keputusan ini bukan bersifat oportunis tetapi lebih kepada memenuhi permintaan peminat yang begitu tinggi. Ini juga membuktikan bahawa artis tempatan mampu mencapai kejayaan yang setanding dengan artis antarabangsa."
Konsert ini menandakan kemunculan semula KRU di pentas selepas enam tahun. Peminat boleh mendapatkan tiket bermula 8 Januari 2025 pada pukul 3 petang melalui laman sesawang ticket2u.com.my/kru3. Harga tiket bermula dari RM258 hingga RM588.
Bagi pemegang kad Maybank, mereka berpeluang mendapatkan tiket lebih awal melalui pra-jualan eksklusif pada 7 Januari 2025, bermula pukul 11 pagi.
Menariknya, pihak penganjur turut mengumumkan kod pakaian bertema era 90-an untuk konsert ini, menghidupkan kembali zaman kegemilangan fesyen seperti jenama Vision Street Wear, Ocean Pacific, dan Billabong.
Pencapaian KRU ini bukan sahaja mengukir nama dalam sejarah kumpulan itu sendiri, malah menjadi penanda aras baharu dalam industri hiburan Malaysia di mana kebanyakan artis tempatan sebelum ini hanya mampu mengadakan konsert untuk dua malam berturut-turut.
Comments