top of page

Krisdayanti Bakal Kembali Dengan Konsert Solo Selepas Lapan Tahun

Writer's picture: MYBMYB

Kuala Lumpur - Setelah hampir lapan tahun tidak mengadakan konsert solo di Malaysia, penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti atau lebih dikenali sebagai KD, bakal mengubati kerinduan peminatnya melalui "Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti" yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 22 Jun 2025.


Krisdayanti Bakal Kembali Dengan Konsert Solo Selepas Lapan Tahun
Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 22 Jun 2025

Konsert yang dianjurkan oleh JBProduction ini akan menampilkan pengarah muzik terkemuka Indonesia, Erwin Gutawa, yang akan memimpin barisan pemuzik dalam membawakan lagu-lagu hits KD yang telah mewarnai industri muzik serantau selama lebih tiga dekad.


Menurut Ketua Pegawai Kewangan Jaguh Baru Sdn Bhd, Isa A Rani, pemilihan KD untuk konsert ini adalah berdasarkan reputasi dan kredibiliti beliau yang bukan sahaja memiliki vokal yang tersendiri, malah kebolehan berinteraksi secara mesra dengan penonton.


"Kami sangat berbangga dapat membawa kembali diva Indonesia yang terus mekar dan kekal relevan dalam industri muzik serantau. Konsert ini pasti dinanti-nantikan ramai memandangkan penampilan terakhir beliau dalam konsert solo di Malaysia adalah pada tahun 2017 melalui Konsert Romansa Krisdayanti," ujar beliau semasa sidang media yang diadakan semalam.


Krisdayanti Bakal Kembali Dengan Konsert Solo Selepas Lapan Tahun
(Kiri- kanan) Ketua Pegawai Kewangan Jaguh Baru Sdn Bhd, Isa A Rani bersama Krisdayanti sewaktu sidang media Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang berlansung di Hotel St. Giles Kuala Lumpur.

Bagi KD sendiri yang merupakan juara program realiti Asia Bagus 1992, konsert ini merupakan platform istimewa untuk beliau mengeratkan hubungan dengan peminat setianya di Malaysia.


"Saya berharap bukan sahaja peminat dari Malaysia yang akan hadir, malah peminat Indonesia yang berada di negara ini turut sama-sama memberi sokongan," kata KD yang baru sahaja mencuri perhatian dengan penampilannya di pentas akhir Gegar Vaganza 11.


Krisdayanti Bakal Kembali Dengan Konsert Solo Selepas Lapan Tahun
Krisdayanti bakal kembali ke Kuala Lumpur untuk konsert solonya selepas lapan tahun

Tiket untuk konsert yang dijangka bermula pada jam 9 malam ini akan mula dijual pada 23 Februari melalui platform UberTickets. Peminat yang merindui lagu-lagu hits seperti "Menghitung Hari" yang telah melonjakkan nama KD di rantau ini pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan live diva yang sentiasa anggun ini.


Konsert ini dijangka akan membawa penonton melalui perjalanan nostalgia cinta bersama lagu-lagu popular KD yang telah menjadi siulan ramai sejak kemunculan pertama beliau di persada muzik serantau lebih 30 tahun yang lalu.



0 komen

Comments


bottom of page