top of page
Writer's pictureMYB

Konsert 'Memori Mungkin Berulang': Hampir 50 Peratus Tiket Sudah Terjual

Konsert 'Memori Mungkin Berulang' yang menampilkan gandingan popular Tomok dan Siti Nordiana mendapat sambutan hangat apabila hampir 50 peratus tiket telah berjaya dijual sejak dibuka untuk jualan pada 28 Oktober lalu.


Konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2025 ini merupakan kolaborasi pertama kedua-dua penyanyi popular tersebut di pentas yang sama, setelah lebih 20 tahun berkarya dalam industri muzik tanah air.


Konsert 'Memori Mungkin Berulang': Hampir 50 Peratus Tiket Sudah Terjual

Menurut penganjur konsert, Popsicle Records yang diterajui oleh Tomok sendiri, tiket-tiket yang ditawarkan pada harga bermula RM98 hingga RM498, serta pakej VIP Box bernilai RM5,000 mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat.


"Berdasarkan trend jualan semasa, kami menjangkakan kesemua tiket akan habis dijual dalam tempoh sebulan dari sekarang," ujar Tomok kepada media.


Konsert yang dinanti-nantikan peminat ini bakal menampilkan lagu-lagu hit kedua-dua penyanyi popular ini, termasuk lagu duet popular mereka, 'Memori Mungkin Berulang'. Tomok turut akan mempersembahkan semula lagu-lagu duet Nana bersama Allahyarham Achik seperti 'Memori Berkasih', 'Resipi Berkasih' dan 'Gurauan Berkasih'.


Konsert 'Memori Mungkin Berulang': Hampir 50 Peratus Tiket Sudah Terjual

Kedua-dua mereka menjanjikan persembahan nostalgia yang akan membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan muzik Melayu era 90-an dan 2000-an.


"Ini merupakan kali pertama kami berkolaborasi sejak memulakan karier di era 90-an. Kami akan berikan persembahan yang terbaik dan tidak akan mengecewakan peminat," ujar Tomok.


Sementara itu, Nana turut menyatakan kegembiraannya apabila lagu duet mereka mendapat sambutan hangat daripada pelbagai generasi, terutamanya Generasi Z. "Saya bersyukur kerana 'Memori Mungkin Berulang' diterima di luar jangkaan, terutama dalam kalangan anak muda," katanya.


Tiket-tiket masih boleh didapati secara dalam talian melalui platform rasmi Ticket2u. Peminat yang berminat dinasihatkan untuk membuat pembelian segera bagi mengelakkan kekecewaan. Bagi syarikat yang berminat untuk menjadi penaja, Popsicle Records membuka peluang kolaborasi untuk menjayakan konsert nostalgia ini.



Comments


bottom of page