Penyanyi bersuara emas, Datuk Jamal Abdillah, akan membawa penonton menyusuri kembali kenangan nostalgia pada konsert terbarunya, "Konsert Datuk Jamal Abdillah: Sandarkan Pada Kenangan - Mencari Azura", yang akan berlangsung pada 15 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini akan menjadi persembahan solo perdana Datuk Jamal Abdillah pada tahun 2025, sekali gus membuktikan kehadirannya yang masih sangat relevan dan mampu memikat hati peminat setianya.
Penganjur, Live Injection dan NJ Resources, yakin bahawa dengan pengalaman, pesona, dan lagu-lagu hits yang telah dihasilkan oleh Jamal Abdillah sejak awal kariernya, konsert ini akan menjadi satu detik kenangan yang manis untuk pengikut setia beliau.
"Ini adalah kali pertama Datuk Jamal Abdillah tampil secara solo di Zepp Kuala Lumpur. Suasana yang lebih intim ini akan mencipta momen yang sangat istimewa buat penghibur kesayangan ramai ini dan peminatnya," ujar Edy J dari Live Injection.
Datuk Jamal Abdillah sendiri berkata bahawa setiap kali beliau menerima jemputan untuk sesuatu persembahan, beliau akan sentiasa 'melakukan kerja sekolah' demi menghasilkan persembahan terbaik. Beliau berharap peminat akan datang beramai-ramai untuk menikmati rendisi lagu-lagu nostalgia yang sangat sinonim dengannya.
"Harapan saya, peminat yang tahu mengenai penganjuran konsert ini akan datang beramai-ramai. Ia akan menjadi kenangan terbaik yang akan kita nikmati bersama-sama pada awal tahun 2025 nanti," ujar Datuk Jamal Abdillah.
Tiket-tiket konsert ini boleh didapati pada harga bermula RM360 sehingga RM7,500 untuk pakej VIP. Tiket boleh dibeli secara dalam talian di ticket2u.com.my. Klik!
Peminat dan pengikut setia juga digesa untuk hadir dengan berpakaian gaya era 80-an, kerana ia akan menjadi tema pakaian pada malam tersebut. Jangan lepaskan peluang untuk menyambut tahun baharu dengan kenangan indah bersama legenda muzik tanah air ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.live-injection.com
Comments