Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 Hidupkan Semula Aura Muzik 80‑an & 90‑an di Saloma
- oleh Editor MYBUZZ
- 19 Mar 2026 11:59 pm
KUALA LUMPUR – Suasana di Saloma, Kuala Lumpur seakan membawa penonton merentas dimensi masa, mengimbau kembali era kegemilangan muzik pada penghujung tahun 80-an dan awal 90-an. Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 yang sarat dengan emosi dan memori ini telah berjaya menghimpunkan 10 penyanyi lagenda tanah air di atas satu pentas berprestij.
Konsert istimewa ini membariskan nama-nama besar industri yang memiliki kehebatan vokal serta pesona genre muzik tersendiri iaitu Shima, To’Ki, Zur Eda, Norshila Amin, Dayangku Intan, Roy Ratnaku, Mamat Exists, Kopratasa, Zack Kacamata, dan kumpulan The Rayhan.

Kemunculan lagenda Kopratasa dan Dayangku Intan nyata paling mencuri tumpuan kerana kelibat mereka sudah jarang dilihat membuat persembahan di stesen televisyen mahupun di hadapan khalayak umum. Selain itu, The Rayhan yang menampilkan gabungan memukau tiga bekas anggota Raihan iaitu Nazrey Johani, Afad, dan Amran Ibrahim turut menjadi sorotan utama pada malam tersebut.
The Rayhan membuka tirai persembahan dengan meyakinkan apabila trio tersebut membuktikan mereka masih relevan melalui paduan vokal harmoni yang mantap. Mereka memulakan malam dengan sebuah medley merangkumi lagu Pujian-Pujian, Syukur dan Iman Mutiara, sekali gus memikat perhatian penonton sejak detik pertama.
Persembahan terus mengalir dengan untaian lagu yang membuai perasaan. Kopratasa mengambil alih pentas dan menggamit nostalgia penonton melalui seleksi lagu penuh makna seperti Masihkah Kau Ingat, Pertama Untuk Isteri serta Tetamu Senja, mempamerkan kekuatan lirik puitis dan sentuhan seni yang menjadi identiti mereka.

Suasana bertambah syahdu apabila Mamat Exists tampil dengan persembahan yang cukup meruntun jiwa. Ramai penonton tidak dapat menahan air mata ketika beliau mendendangkan lagu Untukmu Ibu, diikuti lagu raya Ku Pohon Restu Ayah Bonda yang turut mengusik emosi dengan melodi dan penyampaian penuh penghayatan.
Sebagai penutup tirai, Dayangku Intan tampil menguasai pentas dengan vokalnya yang masih teguh dan bertenaga. Beliau memulakan persembahan dengan lagu Kita Insan Biasa yang disampaikan secara solo sebagai penghormatan kepada Allahyarham Jay Jay, sebelum meneruskan momentum dengan Berpaut di Dahan Cinta, Semakin Rindu Semakin Sayang dan akhirnya menutup malam dengan indah melalui lagu Senandung Hari Raya Untukmu.

Malam konsert tersebut turut diwarnai dengan persembahan bertenaga daripada Noorshila Amin, Roy, Zack, Zur Eda (Sade Malaysia), To’Ki, dan Shima yang masing-masing membawakan lagu hit malar segar mereka.
Selain menyajikan halwa telinga, pihak penganjur iaitu HS Event & Ent Sdn Bhd tidak melupakan inisiatif kebajikan apabila menghentikan konsert seketika untuk memberi laluan kepada acara penyerahan sumbangan.
Sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000 telah disampaikan oleh Datin Sri Dr. Riza Dato’ Che Umar bersama rakan kongsi, Mubarak Akhtar, kepada 23 orang anak seni tempatan yang berdepan ujian kesihatan dan kewangan.
Mereka yang diraikan ini terdiri daripada pelbagai cabang seni termasuklah pelakon, penyanyi, wartawan, dan pengarah. Antara rakan artis dan penggiat seni yang menerima sumbangan murni ini adalah Amyza Aznan, Zaiton Sameon, Herman Tino, Dr Sam, Ali XPDC, dan Is Wow.
Acara yang dikemudikan oleh dua hos berpengalaman, Aidil Ghafar dan Ismahalil, ini diseimbangkan dengan pengisian spiritual yang padat seperti aktiviti tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum majlis berbuka puasa, serta diakhiri dengan solat berjemaah Maghrib, Isyak, dan tarawih.
