top of page

Konsert Hitam Manis: Datuk Hattan, Hazama Dan Black Hanifah Janji Kelainan

Writer's picture: MYBMYB

Tiga penyanyi tanah air yang terkenal dengan warna kulit hitam manis mereka - Dato' Hattan, Hazama dan Black - bakal bergabung tenaga dalam sebuah konsert istimewa yang akan berlangsung di Plenary Hall, KLCC pada 8 Februari 2025.


Konsert Hitam Manis: Datuk Hattan, Hazama Dan Black Hanifah Janji Kelainan

Konsert Hitam Manis yang dijadualkan bermula pada jam 7.30 malam ini merupakan idea asal Dato' Hattan, yang ketika ditawarkan untuk mengadakan konsert solo oleh Reacch Events, memilih untuk berkongsi pentas dengan dua rakan artisnya.


"Saya memilih Hazama dan Black kerana kami sudah lama mengenali antara satu sama lain dan mempunyai chemistry yang kuat," jelas Dato' Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin dalam sidang media di Saloma Kuala Lumpur petang tadi.


Konsert ini menjanjikan kelainan apabila menggabungkan tiga genre muzik berbeza - rock and blues dari Dato' Hattan, pop rock dari Hazama, dan balada dari Black. Penonton bakal dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu hit ketiga-tiga penyanyi ini selama sejam setiap seorang, termasuk lagu-lagu yang belum pernah mereka nyanyikan sebelum ini.


Dato' Hattan, 60, turut mendedahkan bahawa beliau akan mempersembahkan lagu tribute khas untuk Allahyarham Jay Jay dari kumpulan Carefree. "Arwah bukan sahaja seorang sahabat yang baik, malah banyak membantu saya dalam rakaman dan persembahan live," kenangnya dengan penuh nostalgia.


Konsert Hitam Manis: Datuk Hattan, Hazama Dan Black Hanifah Janji Kelainan

Hazama, 40, pula berkata konsert ini akan turut menampilkan elemen moden untuk menarik peminat generasi baharu. "Kita akan bawakan Adam Eiman untuk bahagian rap dalam lagu 'Hitam Manis'," ujarnya sambil menambah bahawa mereka terbuka untuk cadangan pemilihan lagu daripada peminat.


Black, 37, yang baru sahaja pulih dari masalah kesihatan, menyatakan keterujaan beliau untuk kembali ke pentas. "Selepas pembedahan, suara saya telah kembali seperti ketika berusia 23 tahun. Saya sangat bersemangat untuk membawakan 10 buah lagu dalam konsert ini," katanya penuh yakin.


Konsert yang akan diiringi oleh 10 pemuzik profesional di bawah arahan Pengarah Muzik Genervie Kam ini menawarkan tiket dari harga RM198 hingga RM988. Peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman web ticket2u.com.my/hitammanis.



Comments


bottom of page