Malam kemuncak The Chosen One 2024 yang berlansung malam semalam di Astro telah mencatatkan sejarah baharu apabila Kiki Fatiha, penyanyi muda berbakat dari Sabah, dinobatkan sebagai juara. Gadis berusia 13 tahun ini berjaya menewaskan tiga finalis lain dalam pertandingan yang berlangsung selama lapan minggu.
Kiki, yang dibimbing oleh penyanyi terkenal Aepul Roza, memukau penonton dan juri dengan persembahan duet medley "Butter" dan "Jangan Kau Mimpi" bersama mentornya. Persembahan solo beliau membawakan lagu "Kau Kekasihku" yang dipopularkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mendapat pujian tinggi daripada ketua juri, Datuk Awie.
Barisan juri yang terdiri daripada Datuk Awie, Jaclyn Victor, dan juri jemputan Ajai serta Ziana Zain, telah menilai peserta berdasarkan teknik vokal (50%), kreativiti dan feel (30%), serta pembawaan persembahan (20%).
Tiga finalis lain yang turut berentap di pentas akhir ialah Akhil Mikhail (11 tahun) dari Johor, Azry Sabri (15 tahun) dan Atikah Rose (17 tahun), kedua-duanya dari Sabah. Setiap finalis telah mempersembahkan dua lagu - satu duet bersama mentor masing-masing dan satu persembahan solo.
Sebagai juara, Kiki membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000, trofi, dan peluang istimewa untuk merakam lagu dengan Rocketfuel Entertainment. Naib juara menerima RM20,000, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM10,000 dan RM5,000.
Program realiti nyanyian musim kedua ini telah disiarkan di Astro Ceria dan Astro Ria sejak 20 September lalu, dengan gandingan hos baharu Jihan Muse dan Haziq Hussni. Kejayaan Kiki ini meletakkan beliau mengikuti jejak langkah juara musim pertama, Amir Sisi, yang kini telah merakam dua buah lagu dan terlibat dalam pelbagai program televisyen.
Konsert akhir yang berlangsung di studio Astro turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada artis jemputan seperti Tuju, MK, Meerfly, Benzoloo, dan Ghid.
Kommentarer