KUALA LUMPUR – Istiadat penyatuan pasangan sensasi tanah air, Bella Astillah dan YB Syed Saddiq, bukan sahaja menjadi tumpuan menerusi kaca televisyen, malah turut diraikan bersama rakyat jelata menerusi pendekatan “Kenduri Rakyat” yang berskala besar.

Mengambil langkah mesra rakyat, pasangan sama cantik sama padan ini meluahkan keterujaan apabila majlis resepsi mereka di sebelah pihak lelaki di Muar, Johor pada 25 Oktober 2026, serta majlis sebelah keluarga Bella di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober 2026, bakal diangkat sebagai meraikan masyarakat setempat secara terbuka.

Menurut Syed Saddiq, beliau bersama isteri tercinta berhasrat untuk menyediakan juadah istimewa sebanyak mana yang mampu bagi memastikan seramai mungkin tetamu dan orang ramai yang hadir dapat menikmati hidangan yang disediakan bersama-sama. “Kami mahu berkongsi kegembiraan ini seluas yang mungkin dengan masyarakat yang selama ini menyokong kami. Kami cuba sediakan juadah seramai mana yang mampu untuk kenduri rakyat ini, sama ada di Kota Kinabalu mahupun di Muar,” ujar Syed Saddiq ketika mengulas mengenai persiapan kenduri tersebut.

Lebih menarik, bagi menghargai kehadiran para tetamu dan orang ramai yang memeriahkan suasana, pihak penganjur turut mengumumkan penyediaan 10,000 cenderahati eksklusif buat pengunjung yang hadir terawal di lokasi resepsi berkenaan. Inisiatif ini dijangka menarik kehadiran puluhan ribu rakyat tempatan yang ingin beramah mesra secara dekat dengan pasangan merpati dua sejoli ini.

Bagi melengkapkan perjalanan cinta dua dunia ini, kemuncak akad nikah mereka akan bersiaran secara langsung dari Menara 118 pada 10 Oktober 2026, manakala lapan episod eksklusif ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ boleh mula disaksikan bermula 6 Oktober ini, setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria serta menerusi platform strim Sooka dan Astro GO.



