Kempen 'Beli Barangan Malaysia' yang merupakan program tahunan 'My Gaya Month' (MGM) 2024 berjaya mencatatkan jualan bernilai RM1 juta sepanjang tempoh sebulan penuh, mengatasi sasaran yang ditetapkan. Kempen ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Malaysian Bumiputera Designer Association (MBDA) untuk menggalakkan rakyat Malaysia membeli dan menyokong barangan tempatan.
Pencapaian ini adalah hasil kolaborasi strategik antara penganjur bersama KPDN dan MBDA, serta sokongan rakan kongsi seperti Pavilion Damansara Heights Mall dan pelbagai penaja.
Sepanjang program MGM 2024, lebih 30 jenama fesyen dan aksesori tempatan telah dibawa ke hadapan untuk mempamerkan hasil rekaan dan produk terbaik mereka di Pavilion Damansara Heights Mall. Selain itu, jualan atas talian turut menyumbang kepada kejayaan besar ini, membuktikan bahawa produk buatan Malaysia mempunyai daya tarikan yang meluas dan diterima ramai.
Pengarah Kanan Sektor Perdagangan, Pengedaran dan Perniagaan KPDN, Dato' Rohaizi bin Bahari, berkata, "Kami amat berbangga dengan pencapaian ini. Ia jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini semakin yakin dan bangga untuk menyokong jenama tempatan, terutama dalam era digital."
Selain jualan, MGM 2024 turut menganjurkan pelbagai acara seperti forum 'Fesyen dan Perniagaan' untuk memperkasakan para usahawan tempatan. Tujuh peserta juga telah diiktiraf dalam Anugerah 'MY Gaya Month 2024' yang meliputi kategori-kategori seperti Pereka Terbaik, Pereka Paling Kreatif, Pereka Harapan, Pereka Baharu, Jualan Tertinggi, Anugerah Khas, dan Anugerah TECHSTAIL.
Kejayaan besar ini menunjukkan bahawa kempen 'Beli Barangan Malaysia' yang dijalankan bersama MGM 2024 telah berjaya menyemarakkan minat orang ramai untuk menyokong jenama tempatan dan membantu perniagaan kecil serta sederhana berkembang.
"Kempen MGM 2024 bukan sahaja menggalakkan beli barangan tempatan, tetapi juga membuktikan bahawa jenama Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa," tambah Dato' Rohaizi.
Dengan pencapaian cemerlang ini, MGM berhasrat untuk terus meningkatkan sokongan kepada produk tempatan, sejajar dengan matlamat negara untuk mengukuhkan industri domestik dan memupuk rasa bangga terhadap jenama Malaysia.
Comments