top of page
Writer's pictureMYB

Kem Silat Sarawak Mahu Guna Kelebihan Beraksi Di Laman Sendiri

Menjelang saingan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 (SPICS) yang akan membuka tirai pada 27 Februari, kem silat Sarawak mahu menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk melakar beberapa kejutan pada saingan yang bakal berlangsung selama tujuh hari di Stadium Tertutup Kuching.


Kem silat Sarawak bersedia menggegarkan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 selepas mendapat suntikan semangat di Majlis Penyerahan Bendera Sarawak pada sidang media yang dipengerusikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato Sri Haji Abd Karim Rahman Hamzah.

Kejuaraan edisi sulung yang dianjurkan oleh Rumpun Silat Sarawak itu bakal menghimpunkan sejumlah 21 kontinjen dalam dan luar negara sekaligus akan menjadikan ia sebagai pertandingan yang dinanti-nantikan oleh para pencinta sukan silat khususnya di Bumi Kenyalang.


Antara negara luar yang sudah menyahut cabaran di Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 ini ialah Kyrgystan, Uzbekistan, Singapura, Belanda, Vietnam, Filipina, Thailand, dan Amerika Syarikat.


Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato Sri Haji Abd Karim Rahman Hamzah memberikan jaminan bahawa Sarawak sudah bersedia untuk menganjurkan kejuaraan berprestij tinggi melibatkan kontinjen dari luar negara.


“Kita telah berjaya menarik 11 buah negara untuk untuk menyertai kejohanan kali ini. Ia memberikan isyarat jelas bahawa edisi sulung ini mendapat sambutan yang memberangsangkan.


"Malah, tinjauan bagi persediaan dari segi logistik dan kemudahan fasiliti semuanya telah bersedia menerima kehadiran para pencinta silat dari seluruh dunia”.


Beliau yang juga merupakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menambah, “Beberapa agensi dan jabatan kerajaan telah sama-sama menggembling tenaga di dalam menganjurkan beberapa program menarik bagi menghangatkan kejohanan seperti Pesta Makanan dan Festival Kebudayaan anjuran Majlis Seni Sarawak.”


Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato Sri Haji Abd Karim Rahman Hamzah (Tengah) memberikan jaminan bahawa Sarawak sudah bersedia untuk menganjurkan kejuaraan berprestij tinggi melibatkan kontinjen dari luar negara.

Mengulas persiapan kem silat Sarawak, beliau menjelaskan Sarawak akan diperkuatkan oleh 63 pesilat terdiri daripada dua pasukan bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan saingan ini untuk meraih pengalaman.


“Kita juga menghantar 63 jaguh pesilat dari Sarawak, kita ingin mengambil kelebihan bertarung di laman sendiri sekaligus menyuntik semangat mereka untuk berentap merebut kejuaraan. Selain daripada memberikan saingan sengit, pendedahan serta pengalaman yang bernilai akan mereka perolehi apabila menentang jaguh silat dunia.”


Zulaika Razman, jaguh pesilat dari Sarawak yang akan bersaing di dalam Kategori Wanita Kelas C berazam untuk mempamerkan aksi bertenaga, lebih-lebih lagi berpeluang beraksi di hadapan penyokong dan peminat silat tanah air.


Anak jati Miri berusia 23 tahun itu beraksi cemerlang pada Kejuaraan Silat Dunia ke-19 di Melaka ingin memanfaatkan kejuaraan edisi sulung ini untuk dijadikan sebagai medan pemanas badan menjelang persiapan ke Sukan SEA Kemboja 2023.


“Saya amat teruja kerana dapat beraksi di sini, ia adalah peluang besar bagi saya meningkatkan ketangkasan dan kecergasan sebagai persiapan ke Sukan SEA 2023.”


Edisi sulung kejuaraan ini juga bakal disiarkan melalui platform saluran SPOTV yang bakal menyajikan saingan hangat kepada hampir 500 juta penonton di rantau Asia Tenggara.


Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD20,000 bagi juara keseluruhan serta buat kali pertama tali pinggang kejuaraan diperkenalkan bagi juara keseluruhan.


Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page