top of page
Writer's pictureMYB

Kedai Buku Ikonik MPH Bookstores Kembali Ke Alamanda Putrajaya Dengan Wajah Baharu

MPH Bookstores, nama yang sinonim dengan industri buku di Malaysia sejak 1906, hari ini mencatatkan satu lagi pencapaian membanggakan dengan pembukaan cawangan ke-10 di Pusat Beli-belah Alamanda, Putrajaya. Pembukaan kedai buku seluas 5,000 kaki persegi ini menandakan kejayaan strategi pemulihan syarikat tersebut selepas tempoh mencabar semasa pandemik COVID-19.


Kedai Buku Ikonik MPH Bookstores Kembali Ke Alamanda Putrajaya Dengan Wajah Baharu
Bangkit semula! Pembukaan cawangan ke-10 MPH Bookstore menandakan kejayaan strategi pemulihan syarikat tersebut selepas tempoh mencabar semasa pandemik COVID-19.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek, dengan kehadiran Pengarah Pendidikan Putrajaya, Tuan Haji Ezaiddin Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif MPH Bookstores, Martin Cross.


"Kami pernah beroperasi di lokasi yang sama sebelum ini, sehinggalah pandemik COVID-19 melanda. Kini, kami amat gembira dapat kembali dengan penampilan yang lebih baik dan lebih mantap," kata Cross dalam ucapan aluannya.



Cawangan baharu ini menampilkan reka bentuk kontemporari yang pertama kali diperkenalkan di kedai flagship MPH di The Exchange TRX. Dengan kombinasi kayu balau cerah dan hiasan gangsa, ia mencerminkan hala tuju baharu MPH sebagai destinasi membeli-belah moden yang memberikan inspirasi.


Kedai ini menawarkan pelbagai koleksi buku dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, termasuk buku kanak-kanak, fiksyen, bukan fiksyen, serta buku rujukan sekolah. Pengunjung juga boleh mendapatkan alat tulis, permainan pendidikan, dan barangan hadiah termasuk koleksi eksklusif dari Muzium Kesenian Islam Malaysia.


Kedai Buku Ikonik MPH Bookstores Kembali Ke Alamanda Putrajaya Dengan Wajah Baharu
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek, dengan kehadiran Pengarah Pendidikan Putrajaya, Tuan Haji Ezaiddin Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif MPH Bookstores, Martin Cross.

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan kehadiran para pelajar dan guru dari 16 buah sekolah rendah Putrajaya, wakil penerbit tempatan, pembekal, dan ahli MPH MRewards.


MPH Alamanda yang terletak di LG22-23, Aras Bawah, Pusat Beli-belah Alamanda, beroperasi dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam setiap hari. Pembukaan cawangan ini merupakan sebahagian daripada rancangan pemulihan dan pembesaran rangkaian kedai buku MPH di seluruh Malaysia, sejajar dengan visi syarikat untuk kembali menjadi rangkaian kedai buku terkemuka di negara ini.


Untuk maklumat lanjut dan tawaran istimewa, pengunjung digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli MPH MRewards di kaunter kedai atau melayari laman web rasmi MPH di https://mphonline.com/.



0 komen

Comments


bottom of page