Extreme Visionary Venture (EVV) telah berjaya menganjurkan Karnival Rakyat Prihatin di Pusat Aktiviti Masyarakat Taman Ibu Kota pada Sabtu lalu, membawa pelbagai aktiviti menarik dan bantuan kebajikan kepada masyarakat setempat.
Karnival sehari yang berlangsung dari pagi hingga petang itu telah dirasmikan oleh YBhg Datuk Seri Dr Mohd Shafei bin Abdullah, Ahli Lembaga Penasihat DBKL yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.
Menurut Pengarah EVV, Pn Julianah Ishak, karnival ini bukan sahaja bertujuan membantu golongan yang memerlukan, malah turut memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan tambahan. Program ini turut mengetengahkan inisiatif Jualan Rahmah melalui 30 gerai jualan yang disediakan.
"Sempena pembukaan sekolah tidak lama lagi, kami mengambil kesempatan untuk memberi sumbangan kepada anak-anak asnaf. Kami juga telah mengedarkan bakul makanan kepada golongan asnaf di sekitar Gombak," kata Pn Julianah yang juga merupakan Pengarah Karnival.
Pengunjung karnival dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik termasuk Zumba, pertandingan karaoke, dan sukaneka rakyat. Kanak-kanak tidak ketinggalan dengan aktiviti mewarna yang disediakan khas untuk mereka. Program turut diserikan dengan kehadiran artis popular, Zaiton Sameon dan Mac Ruhayu yang menghiburkan pengunjung dengan lagu-lagu popular mereka.
Karnival ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Mapim Gombak, DBKL, XFOX Niaga, dan KRT Taman Ibu Kota. Agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba, PDRM, JPJ, JPAM, Perkeso, LPPKN, dan Pusat Darah Negara turut menyertai pameran sepanjang karnival berlangsung.
Pengacara popular, Mummy Didie Alias telah memeriahkan suasana sebagai pengacara sepanjang program ini berlangsung. Program ini dilihat berjaya mencapai matlamatnya dalam mengeratkan hubungan kemasyarakatan sambil membawa manfaat kepada penduduk setempat.
コメント