Ismail Izzani, sekali lagi mencuri tumpuan peminat apabila menganjurkan acara ImanPiano Experience 2.0 yang berlangsung di Aquaria KLCC semalam (16 Disember 2024). Program yang dinanti-nantikan ini bukan sahaja menampilkan persembahan muzik yang memukau, malah turut diserikan dengan cabaran menarik yang mencetuskan gelak tawa pengunjung.
Dalam acara tersebut, Ismail Izzani tampil dengan cabaran berani apabila mengajak krew Hot FM untuk bertanding dalam pertandingan khas. Dengan taruhan yang mengujakan, pihak yang kalah perlu menyelam ke dalam 'Rage Cage' yang terkenal di Aquaria KLCC.
Fizi dari Hot FM mengambil cabaran tersebut dengan penuh semangat, namun nasib tidak menyebelahinya apabila beliau tewas dalam pertandingan itu. Dalam semangat kesukanan, Ismail turut sama terjun ke dalam 'Rage Cage' bersama Fizi, mencetuskan sorakan gemuruh daripada penonton yang hadir.
"ImanPiano Experience 2.0 ini memberi pengalaman yang sangat bermakna. Penglibatan kru Hot FM dalam cabaran ini benar-benar menghidupkan suasana," kata Ismail yang dikenali dengan personaliti karismatik dan hubungan akrab bersama peminatnya.
Beliau turut berkongsi bahawa sebagai seorang yang menggemari aktiviti mencabar, program ini merupakan cara unik untuk beliau mengeratkan hubungan dengan peminat.
Program yang mendapat tajaan penuh daripada Aquaria KLCC ini berjaya mencapai objektifnya dalam menyajikan pengalaman muzik yang mengasyikkan sambil mengekalkan elemen hiburan yang segar dan berbeza. Kerjasama pihak Aquaria KLCC dalam menyediakan lokasi dan memastikan kelancaran program turut menyumbang kepada kejayaan acara tersebut.
Penganjuran The ImanPiano Experience 2.0 ini sekali lagi membuktikan kreativiti Ismail Izzani dalam menghiburkan peminatnya dengan cara yang berbeza dan lebih menarik berbanding program hiburan biasa.
Commenti