Kuala Lumpur - Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf Malaysia) hari ini telah melancarkan program Tabung Beras Amal "Sekampit Beras Satu Keluarga" di Lobi Utama busanamall@menara MARA, dalam usaha membantu golongan yang memerlukan menjelang Ramadan.

Program amal yang berlangsung dari jam 2 petang hingga 10 malam ini telah dimeriahkan dengan kehadiran artis-artis tempatan seperti Meclisandra, Syafiq Ibrahim, dan kumpulan Lefty 87, serta persembahan istimewa daripada para busker MYBC.
Menurut Ishak Abdul Kadir, Pengasas dan Presiden Insaf Malaysia, program ini merupakan kesinambungan usaha mereka yang terhenti akibat pandemik COVID-19. "Sebelum pandemik, kami berjaya mengumpul sehingga 15 tan beras. Tahun lepas, kami mulakan semula secara kecil-kecilan, dan tahun ini kami kembali dengan lebih besar-besaran," katanya kepada wartawan.
Program yang mendapat kerjasama daripada Busana Mall, IRAMA Entertainment, dan Anggun Music Production ini mensasarkan untuk mengumpul dana bagi membantu pelbagai golongan termasuk keluarga asnaf, B40, penghuni rumah anak yatim, warga emas, mualaf dan OKU.
Beras yang disumbangkan akan diagihkan kepada golongan sasar dan turut digunakan dalam program Foodbank serta Dapur Insaf Malaysia untuk penyediaan juadah berbuka puasa dan bubur lambuk sepanjang Ramadan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui pemindahan wang ke akaun Maybank Insaf Malaysia (562188306090) atau mengimbas kod QR yang disediakan. Program sumbangan ini akan berterusan sehingga bulan Syawal.
Sepanjang 16 tahun penubuhannya, Insaf Malaysia telah berjaya membantu lebih 431 rumah kebajikan dan 1,309 murid sekolah. Inisiatif terbaru ini membuktikan komitmen berterusan pertubuhan tersebut dalam membantu golongan yang memerlukan, terutamanya menjelang bulan Ramadan yang bakal menjelang dalam masa seminggu lagi.
Ishak turut menegaskan bahawa program ini sejajar dengan semangat Ramadan yang menggalakkan amalan bersedekah dan berbuat kebajikan. "Kami berharap masyarakat akan terus menyokong usaha murni ini untuk meringankan beban mereka yang memerlukan," tambahnya.
Comments