top of page
Writer's pictureMYB

Ikuti Pengalaman Lima Selebriti Popular Malaysia Berguru Dengan 8 Master Dari Korea & Malaysia

Updated: 6 Jan 2022

Primeworks Studios telah berkolaborasi dengan SBS Korea untuk menerbitkan Master In The House Malaysia yang akan mula bersua dengan penonton TV3 mulai 15 Januari 2022, setiap hari Sabtu, pukul 10.00 malam - 11.00 malam. Bakal bersiaran untuk 10 episod, lima selebriti popular Malaysia iaitu Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan Meyrasam (kumpulan CASSIA) akan berguru dengan 8 ‘Master’ disegani dari Korea dan Malaysia.


Master In The House Malaysia
Lima selebriti popular Malaysia (Dari kiri) Andi Bernadee, Scha Elinnea, Hael Husaini, Meysaram dan Sharifah Rose akan menemui penonton dalam program variasi terbaharu terbitan Primeworks Studios dan SBS Korea, Master In The House Malaysia

Pada setiap episod, Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan Meyrasam akan diperkenalkan dengan seorang ‘Master’ yang disegani dalam industri yang diceburi beliau. Tanpa mengetahui siapakah ‘Master’ terlebih dahulu, mereka diberikan cabaran untuk menyiapkan tugasan - tugasan yang diamanatkan oleh Master dalam tempoh dua hari satu malam.


Master In The House Malaysia (MITH) menampilkan dua Master Korea dan enam Master Malaysia yang mempunyai kepakaran dan kredibiliti dari kepelbagaian bidang. Son Sung Deuk, koreografer yang mencipta fenomena K-Pop Idol BTS terutamanya koreografi ‘Butter’ yang sedang rancak dalam kalangan Army. Beliau merupakan pengarah HYBE Performance yang sering memenangi anugerah yang berprestij di Korea dan mula bekerjasama dengan BTS sejak kumpulan itu diperkenalkan. BamBam, K-pop Idol yang mencipta nama menerusi kumpulan Got7 sejak tahun 2014. Beliau merupakan seorang rapper, penyanyi dan penggubah lagu yang berbakat besar dan sering menghasilkan lagu-lagu yang membolosi carta-carta lagu.


Barisan Master dari Malaysia ialah Datuk Yusof Haslam, seorang penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelakon yang berwibawa, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, penyanyi tersohor di Malaysia, Datuk Rashid Sidek, lagenda badminton negara, Sherson Lian, cef selebriti dan hos televisyen Malaysia, dan Usamah Zaid, pengasas dan Pengarah Urusan syarikat animasi miliknya, WAU Animation dan pencipta serta pengarah siri animasi Ejen Ali.


Master In The House Malaysia menampilkan CheongKwanJang (CKJ) sebagai penaja utama, Lifebuoy sebagai penaja bersama dan dikuasai oleh Samsung Galaxy Z Flip3 5G.


Puan Nini Yusof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios berkata, “Master In The House Malaysia (MITH) merupakan kolaborasi strategik antara Primeworks Studios dan SBS Korea. Terbitan bersama ini telah membuahkan hasil yang sangat memuaskan. Krew penerbitan kami telah menjalani sesi penggambaran bersama-sama dengan pihak SBS selama 10 hari di Korea Selatan bermula hujung bulan Oktober yang lepas.



Kolaborasi sebegini membawa manfaat besar kepada kami untuk bertukar idea dan menimba pengalaman baharu dalam menyajikan kandungan program yang berkualiti. Jutaan terima kasih kepada SBS atas kerjasama baik untuk melancarkan penerbitan MITH dari awal pembabitan. Tidak ketinggalan juga penaja utama MITH iaitu, CheongKwanJang (CKJ), penaja bersama Lifebuoy dan dikuasai oleh Samsung Galaxy Z Flip3 5G,” jelas Puan Nini lagi.


Ikuti pengembaraan istimewa Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan Meyrasam dalam Master In The House Malaysia mulai 15 Januari 2022, setiap hari Sabtu, pukul 10.00 malam - 11.00 malam di TV3. Anda juga boleh menyaksikan program ini secara strim langsung dalam definisi tinggi (HD) menerusi tonton dan Youtube TV3MalaysiaOfficial. Gunakan #MasterInTheHouseMY untuk menghangatkan perbualan di media sosial.

Comments


bottom of page