SHAH ALAM – Industri muzik tanah air kini menyaksikan fenomena baharu apabila penyanyi Sharifah Zarina Wan Hassan telah bergabung suara dengan anak perempuannya, Athalia menerusi lagu raya duet bertajuk "Oohaa Raya" yang telah dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac lalu.

Lagu yang diterbitkan oleh Faithful Music dengan kerjasama Malika Entertainment ini dianggap istimewa kerana ia merupakan lagu raya duet ibu dan anak perempuan yang pertama kali dihasilkan dalam industri muzik Malaysia.
Menurut Sharifah Zarina, idea untuk berkolaborasi bersama anaknya tercetus selepas kejayaan lagunya "40" yang viral di TikTok tahun lalu.
"Sebetulnya, idea kolaborasi duet ini datang daripada komposer Eugene Lai yang turut bertindak selaku produser lagu ini. Bila difikirkan semula, saya rasa kenapa tidak saya berduet dengan Athalia kerana ia suatu idea yang bagus. Lagipun, mana ada lagi lagu raya yang menggabungkan ibu dan anak sebagai penyanyi," katanya.
"Oohaa Raya" menggabungkan elemen keroncong tradisional dengan irama moden reggae yang menjadikan lagu ini unik. Perkataan "Oohaa" itu sendiri diambil daripada bahasa Iban yang bermaksud "Hello" atau "Hai", sekaligus mencerminkan asal usul Sharifah Zarina yang berasal dari Sarawak.

Lebih menarik lagi, lagu ini disertakan dengan siri web enam episod yang dimuatnaik di akaun TikTok kedua-dua penyanyi (@realsharifahzarina dan @officialathalia).
Athalia turut berkongsi pengalamannya berduet bersama ibunya: "Setidak-tidaknya, ia dapat mengeratkan lagi hubungan kami anak beranak sewaktu bekerja dan pada masa yang sama kami dapat melihat cara kerja masing-masing dan belajar antara satu sama lain."
Proses penghasilan lagu ini melibatkan penulisan lirik oleh Ja'a, Eugene Lai serta Sharifah Zarina dan Athalia sendiri. Eugene menyifatkan "Oohaa Raya" sebagai lagu yang penuh dengan suasana ceria kerana ia menampilkan usikan dan gurauan antara ibu dan anak perempuannya.
Muzik video rasmi untuk "Oohaa Raya" telah mula ditayangkan di saluran YouTube Faithful Music semalam. Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube di bawah edaran Universal Music Malaysia.
Projek lagu raya ini bukan sahaja menandakan 'come back" oleh Sharifah Zarina dalam arena muzik tempatan, tetapi juga menyerlahkan bakat anak perempuannya, Athalia, yang turut akan muncul dengan satu lagi lagu raya bersama beberapa rakan artis yang lain.
Comentários