top of page

HULURKAN: Karya Nasyid Inspiratif Hasil Kolaborasi 7 Artis Tanah Air Untuk Kebajikan

Writer's picture: MYBMYB

KUALA LUMPUR - Inspirasi daripada projek amal antarabangsa "We Are The World", Daqmie Music Factory dengan kerjasama Perkim Datuk Keramat telah melancarkan single nasyid terbaru bertajuk "HULURKAN" yang menggabungkan tujuh penasyid ternama Malaysia.


HULURKAN: Karya Nasyid Inspiratif Hasil Kolaborasi 7 Artis Tanah Air Untuk Kebajikan
Gabungan suara Mestica, Fine, Zaidi Wildan, Darwish, Shidee Khayran, Cahaya Hati dan Daqmie dalam "Hulurkan".

Single yang dijangka berada di semua platform digital pada 28 Februari 2025 ini dinyanyikan oleh gabungan suara Mestica, Fine, Zaidi Wildan, Darwish, Shidee Khayran, Cahaya Hati dan Daqmie sendiri.


Menurut Daqmie yang juga merupakan duta Perkim Datuk Keramat selama dua tahun, inspirasi lagu ini tercetus daripada projek "We Are The World" yang pernah menggabungkan artis-artis terkemuka Amerika Syarikat pada tahun 1985 untuk mengumpul dana bagi mangsa kebuluran di Ethiopia.


"HULURKAN adalah sebuah lagu yang membawa mesej kemanusiaan penuh harmoni dan kasih sayang, mengajak masyarakat untuk sama-sama beramal dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutamanya menjelang bulan Ramadan," kata Daqmie.


Tambahnya lagi, bantuan yang ingin disalurkan boleh dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, barangan, masa, tenaga, harta dan juga doa yang berterusan.


Sementara itu, Pengerusi Perkim Datuk Keramat, Suhaimi Abdul Aziz menyifatkan pendekatan kesenian, khususnya nasyid, dapat menarik minat masyarakat untuk menyokong usaha dakwah yang berterusan.


"Kami percaya muzik adalah medium yang dekat di hati masyarakat. Melalui single ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai untuk bersama menyumbang kepada usaha dakwah dan kebajikan yang kami laksanakan," katanya.


HULURKAN: Karya Nasyid Inspiratif Hasil Kolaborasi 7 Artis Tanah Air Untuk Kebajikan
"Hulurkan"

Dana yang dikumpulkan melalui projek "HULURKAN" akan disalurkan untuk enam inisiatif utama Perkim Datuk Keramat, termasuk penampungan kos operasi Rumah Mualaf, aktiviti dakwah berterusan, pembelian kenderaan van, pembangunan Kompleks Dakwah Mualaf Mahmood di Puncak Alam, pembangunan semula Sekolah Al Ummah, dan pengurusan Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain Al Muqaddasah.


Projek yang mendapat sokongan Yeop's Kitchen ini dirakamkan di studio Smart Audio dengan bantuan komposer dan jurutera bunyi, Alfa Booty. Lagu edaran Arteffects Production milik Hafiz Hamidun dengan kerjasama Sony Music Malaysia ini akan dilancarkan pada 28 Februari, jam 12 malam.


Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Perkim Datuk Keramat di alamat No.2A, Jalan Gurney 2, Datuk Keramat, 54000 Kuala Lumpur, atau menghubungi Suhaimi (019-6039187) atau Hakim (018-2573069). Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun CIMB Bank 8600320562.



Comments


bottom of page