top of page
Writer's pictureMYB

Hazama Bangkit Dengan 'Pujangga', Hadiah Istimewa Buat Peminat Setia

Setelah 11 tahun menunggu, peminat akhirnya dapat bernafas lega apabila penyanyi versatil, Hazama Ahmad Azmi, 40, mengumumkan kemunculan album studio keduanya yang diberi judul 'Pujangga', susulan kejayaan album pertamanya 'Penglipurlara' pada tahun 2013.


Hazama Bangkit Dengan 'Pujangga', Hadiah Istimewa Buat Peminat Setia

Album yang dihasilkan secara independen ini merupakan kerjasama antara Hazamaworks Sdn Bhd dan Silent Kaiju Studio, dengan sokongan dana daripada MyCreative Venture Sdn Bhd (MYCV) di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).


Juara Akademi Fantasia musim ke-9 ini mengambil pendekatan berani dengan menghasilkan album penuh berisi 10 buah lagu di era digital yang kebanyakan artis lebih cenderung mengeluarkan single demi single.


Dalam satu wawancara, Hazama menjelaskan pemilihan judul 'Pujangga' yang membawa maksud pengarang sajak dan syair adalah cerminan keseluruhan kandungan album tersebut.


"Saya mahu betul-betul bercerita, bersyair atau berpujangga dengan semua karya saya. Pada saat hampir semua pemuzik atau penyanyi di dunia tidak melahirkan album fizikal, saya mengambil pendekatan untuk memasarkan 'Pujangga' kerana ia akan menjadi sejarah dan sesuatu yang kekal relevan dalam karier saya bukan hanya sebagai penyanyi tetapi pemuzik dan penerbit album," jelas Hazama.


Hazama Bangkit Dengan 'Pujangga', Hadiah Istimewa Buat Peminat Setia

Album yang dirakam di beberapa lokasi terpilih ini menampilkan sentuhan istimewa, dengan melodi dirakam di Royale Chulan, Cherating, sesi rakaman lagu di Studio Gua, manakala sesi rakaman vokal, mixing dan mastering dilakukan di KPRO Studio. Lebih menarik, konsep album ini turut dirakamkan di Tokyo, Jepun.


Hazama turut mendapat sokongan padu daripada isterinya, Genervie Kam, dan Zimi selaku Penolong Penerbit untuk memastikan album ini menepati piawaian industri. Dua lagu yang telah diberi pratonton di media sosial ialah 'Di Mimpiku' dan 'Semacam Pandora', yang dijangka akan mengekalkan identiti muzik Hazama yang tersendiri.


Album 'Pujangga' akan dipasarkan oleh Sony Music, dan Hazama berharap jeda panjang di antara 'Penglipurlara' dan 'Pujangga' akan dapat mengubati kerinduan peminat terhadap karyanya. "Saya berharap penantian peminat selama ini akan berbaloi dengan penghasilan album ini," ujar beliau yang telah menghasilkan banyak lagu hit sejak tahun 2006.



0 komen

Comments


bottom of page