Petaling Jaya - Penyanyi yang juga merupakan doktor pergigian, Hafiz Zainal, kembali ke arena industri muzik dengan single ketujuh beliau bertajuk "Memoir", sebuah karya istimewa yang membawa nilai sentimental tersendiri.

Hafiz Zainal yang mencuri perhatian menerusi program Calpis Soda One In A Million di TV3, tampil dengan lagu yang mempunyai erti mendalam kerana ia berasal daripada melodi ciptaan mendiang Chaq, abang kepada penyanyi popular Stacy.
Menurut Hafiz, lagu ini pada asalnya diserahkan kepadanya oleh Stacy setahun selepas pemergian abangnya. "Lagu ini sepatutnya dinyanyikan oleh Stacy sendiri, tetapi dia merasakan genre dan emosi 'Memoir' lebih dekat dengan saya," jelas Hafiz.

Menariknya, "Memoir" menggabungkan melodi yang diinspirasikan daripada lagu Cina, namun dinyanyikan dalam gaya balada Melayu dengan sentuhan elemen R&B. Proses penyempurnaan lagu ini dilakukan oleh dua nama besar dalam industri, iaitu Bunga Cantik dan Hang Nadim.
"Cabaran utama bagi saya ialah kawalan suara kerana julatnya luas, dari nada rendah ke tinggi, serta penggunaan pelbagai teknik vokal," kongsi Hafiz mengenai pengalaman merakam lagu tersebut yang mengambil masa selama tiga jam.
Bunga Cantik turut berkongsi bahawa pada asalnya, lirik "Memoir" lebih bernuansa sedih, namun dengan gubahan Hang Nadim, ia telah dikembangkan menjadi lebih universal. "Lagu ini boleh dianggap sebagai memori kasih, baik untuk hubungan yang masih mekar mahupun sebagai kenangan untuk hubungan yang telah tiada," tambah Bunga Cantik.
Hafiz berharap lagu ini dapat menyentuh jiwa pendengar dan beliau mengimpikan "Memoir" dapat melangkah lebih jauh dengan mendapat pengiktirafan di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) atau diabadikan sebagai lagu tema drama atau filem.
Lagu "Memoir" kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. Untuk maklumat terkini mengenai Hafiz Zainal dan Alternate Records & Talents, orang ramai boleh melayari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.
Comments