Penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun, kembali memukau peminat dengan single religi terbaru bertajuk "Raudah" yang telah dilancarkan pada 6 September 2024 lalu. Lagu yang diinspirasikan dari pengalaman spiritualnya di Madinah ini merupakan persembahan istimewa sempena sambutan Maulidur Rasul yang bakal disambut sedikit masa lagi.
"Raudah" diilhamkan ketika Hafiz melakukan ibadah di Masjid Nabawi, khususnya di kawasan Raudah atau yang turut dikenali sebagai 'Taman Syurga'. Menurut Hafiz, lirik lagu ini merakamkan perasaan takjub dan kerinduan yang mendalam terhadap Rasulullah SAW, serta doa-doa yang dipanjatkan di kawasan suci tersebut.
Menariknya, proses penghasilan lagu ini hanya mengambil masa tiga minggu secara keseluruhan. Seminggu untuk komposisi dan penulisan lirik, diikuti dua minggu untuk rakaman, mixing dan mastering. Hafiz turut menggabungkan bakat pemuzik tempatan dengan pemuzik dari Istanbul bagi menghasilkan alunan yang kaya dengan sentuhan Timur Tengah.
"Saya mahu lagu ini mencetuskan kegembiraan dan keceriaan. Persiapan untuk menunaikan umrah atau haji seharusnya memenuhi hati kita dengan kebahagiaan dan rasa syukur menjadi sebahagian daripada umat Nabi Muhammad SAW," jelas Hafiz.
Video muzik "Raudah" turut dirakam semasa Hafiz menunaikan umrah baru-baru ini, merakamkan perjalanannya dari Mekah ke Madinah menggunakan kereta api laju, serta pemandangan di sekitar Masjid Nabawi. Hafiz berkongsi pengalaman istimewanya yang diberi peluang berada di Raudah selama lebih dua jam, berbanding tempoh biasa 10 minit, membolehkannya merakam momen-momen berharga dengan telefon bimbitnya.
"Saya berharap lagu ini dapat membangkitkan rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah SAW dalam kalangan pendengar. Sempena Maulidur Rasul, marilah kita perbanyakkan selawat dan berusaha mengikuti sunnah baginda," ujar Hafiz.
Single "Raudah" kini boleh dimuat turun di iTunes dan distrim di platform digital utama termasuk Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.
Hafiz Hamidun bukan sahaja bertindak sebagai penyanyi, malah turut menulis lirik dan mengarang lagu ini sepenuhnya. Karyanya ini dijangka akan menjadi satu lagi permata dalam koleksi muzik Islamik tempatan yang sentiasa dinanti-nantikan peminat.
Comentários