Ghaz Abu Bakar Kembali Dengan ‘Konspirasi’, Thriller Sarat Aksi dan Politik
- oleh Editor MYBUZZ
- 21 May 2026 1:19 pm
KUALA LUMPUR – Peminat filem aksi tempatan pastinya tidak sabar menantikan buah tangan terbaharu daripada pengarah berkaliber, Ghaz Abu Bakar. Tampil dengan naskhah yang lebih berani dan mendebarkan, Ghaz kembali mempertaruhkan filem bergenre political thriller, aksi, dan siasatan siber berjudul ‘Konspirasi’. Filem yang sarat dengan plot pengkhianatan dan perebutan kuasa ini mula menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 21 Mei 2026.
Majlis malam gala filem tersebut berlansung baru-baru ini di Golden Screen Cinemas, IOI Putrajaya Mall yang turut dihadiri oleh barisan pelakon, pengarah, warga produksi serta seluruh peminat filem bagi meraikan tayangan filem tersebut.
Menerusi ‘Konspirasi’, penonton bakal disajikan dengan sebuah pengalaman sinematik yang menggabungkan pergelutan politik dan dunia siber yang gelap. Filem ini turut membariskan nama-nama besar industri perfileman tanah air, antaranya Dato’ Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis, Roy Azman, dan Esma Daniel.

Penceritaan naskhah ini berpusat kepada krisis yang melanda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menerima maklumat rahsia berhubung sebuah pelayan tersembunyi. Pelayan tersebut dikatakan menyimpan pangkalan data senarai ahli politik korup serta transaksi kewangan haram di luar negara.
Bagi mengelakkan maklumat sensitif itu jatuh ke tangan musuh, Tan Sri Kamil (lakonan Roy Azman) telah mengarahkan pembentukan sebuah pasukan elit untuk melancarkan operasi sulit berisiko tinggi. Pasukan ini diketuai oleh Adli (Dato’ Adi Putra) bersama anggota utamanya iaitu Ily (Shiqin Kamal), Dhani (Hisyam Hamid) dan Maya (Alicia Amin), masing-masing membawa kepakaran tersendiri dalam misi penuh bahaya ini.
Namun, situasi bertukar genting apabila operasi tersebut bertukar menjadi malapetaka. Sebahagian data penting mula dibocorkan kepada pihak media serta tersebar di laman web gelap (dark web), sekali gus mencetuskan krisis politik yang menggoncang negara. Plot twist yang berlaku menjadikan misi ini jauh lebih kompleks daripada jangkaan awal.
Dalam masa yang sama, kepercayaan rakyat terhadap SPRM mula tergugat. Desas-desus mengenai kewujudan pengkhianat dari dalam organisasi semakin kuat diperkatakan, menimbulkan persoalan tentang integriti dan keselamatan institusi tersebut. Ketegangan semakin memuncak apabila setiap langkah pasukan elit itu diperhatikan dan dipersoalkan.
Lebih membimbangkan, pasukan Adli akhirnya menyedari mereka sebenarnya terperangkap dalam satu konspirasi besar yang melangkaui jangkaan. Konspirasi ini bukan sahaja melibatkan manipulasi kuasa, malah turut merangkumi serangan siber berskala besar serta ancaman dari pihak asing yang berusaha melemahkan negara dari dalam.

Menurut pengarahnya, Ghaz Abu Bakar, naskhah ini membawa mesej yang lebih mendalam di sebalik deretan babak aksinya yang pantas.
“Konspirasi bukan sekadar filem aksi tetapi sebuah gambaran tentang bagaimana kuasa, ketamakan dan pengkhianatan boleh menghancurkan kepercayaan. Kami ingin menunjukkan bahawa perjuangan menegakkan kebenaran sentiasa hadir bersama risiko, tekanan dan pengorbanan,” tegas beliau.
Filem yang mengangkat realiti gelap dunia penguatkuasaan ini merupakan hasil terbitan bersama Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films. Manakala, Primeworks Studios pula bertindak sebagai rakan pemasaran rasmi bagi naskhah hebat ini.
Adakah pasukan Adli berjaya merungkai dalang sebenar di sebalik konspirasi yang mengancam kedaulatan negara? Saksikan Konspirasi di pawagam bermula hari ini, 21 Mei 2026. Untuk kandungan eksklusif dan perkembangan terkini, penonton boleh mengikuti platform media sosial Facebook, Instagram, X, dan YouTube Primeworks Studios.
