Peminat-peminat filem seram tempatan pasti tidak sabar menanti kehadiran filem seram terbaharu bertajuk 'Bisikan Dosa' yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 9 Januari 2025.
Filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Uqasha Senrose, Sara Ali, Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, Sherry Merlis dan Syazuwan Hassan.
Di sebalik pembikinan filem ini, Yusry Makmor selaku penerbit mendedahkan bahawa idea asal tercetus hasil perbincangan bersama Zafran ketika membuat kajian tentang trend filem seram masa kini. Menurut beliau, 'Bisikan Dosa' bukan sekadar filem seram biasa, malah mengangkat isu-isu realistik seperti amalan syirik dan khurafat yang masih wujud dalam masyarakat moden.
Filem arahan Faizul A. Rashid ini mengisahkan tentang Sarimah, seorang wanita yang memulakan kehidupan baharu di Kuala Lumpur selepas kehilangan anak dan dikhianati suami. Kehidupannya berubah apabila dia menjadi pembantu rumah kepada keluarga Ayden, di mana dia mula diganggu oleh roh Zara, arwah isteri Ayden.
Faizul menjanjikan babak-babak seram dan 'jumpscare' yang bermutu tinggi untuk memberikan kepuasan kepada penonton. Beliau turut memuji komitmen para pelakon yang telah menjalani kelas lakonan khas dan menerima skrip beberapa bulan lebih awal untuk memastikan persembahan yang terbaik.
Menurut Penerbit dan Pengasas Yusrych Global Sdn Bhd, Yusry Makmor, filem ini dijangka mampu menjadi fenomena dan mencapai box office kerana mengangkat tema seram yang masih menjadi pilihan ramai penonton tempatan.
Filem ini merupakan projek susulan Yusrych Global selepas kejayaan filem seram Islamik dari Thailand, "Khong Khaek". Dengan sokongan kukuh daripada Finas dan kerjasama strategik bersama Primeworks Studios serta Media Prima Bhd, 'Bisikan Dosa' dijangka akan menjadi fenomena box office yang membuka tirai 2025.
Comments