Filem arahan Nik Amir Mustapha, "Imaginur", muncul sebagai pemenang besar di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media malam tadi. Filem terbitan Lumatic Films Sdn. Bhd. ini bukan sahaja meraih anugerah utama Filem Terbaik, malah turut membawa pulang enam anugerah lain.
Selain trofi, kemenangan dalam kategori Filem Terbaik turut disertakan dengan insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa.
Antara anugerah lain yang dimenangi oleh "Imaginur" termasuk Pengarah Terbaik (Nik Amir Mustapha), Pelakon Lelaki Terbaik (Beto Kusyairy), Cerita Asal Terbaik (Redza Minhat & Nik Amir Mustapha), Penyunting Terbaik (Johan Arif Mazlan), Penataan Seni Terbaik (Rabbani Sujak), dan Lagu Tema Terbaik (Amir Jahari-Hasrat).
Festival yang bertemakan "EMAS – Evolusi Sinema Malaysia" tahun ini turut mengiktiraf bakat-bakat dalam kategori dokumentari dan filem pendek. "Pekik" terbitan Stereo Pixels Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai Dokumentari Terbaik.
Sementara itu, "The Missing Trophy" dari Wayang Works Sdn. Bhd. memenangi kategori Filem Pendek Terbaik. Kedua-dua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi.
Majlis kemuncak FFM33 turut mengiktiraf sumbangan dua tokoh industri dengan Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman kepada A. Galak dan Anugerah Khas Karyawan kepada Indera Che Muda. Kedua-dua penerima dianugerahkan wang tunai RM10,000 serta trofi sebagai pengiktirafan atas jasa mereka dalam industri kreatif tanah air.
Comments