Filem komedi seram terbaharu arahan Waan Hafiz, "Don Dukun", membuktikan daya tarikannya apabila berjaya meraih kutipan mengagumkan sebanyak RM1 juta pada hari pertama tayangan, termasuk tayangan prebiu.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Infinitus Productions dan GSC ini menampilkan jalan cerita unik tentang Don Arif, seorang 'dukun Instafamous' yang menggunakan pelbagai gimik untuk memikat pengikut di media sosial. Konflik bermula apabila dia terpaksa bersaing dengan bomoh-bomoh lain untuk mendapatkan tawaran lumayan daripada seorang janda kaya yang ingin memulihkan anak tirinya dari gangguan mistik.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad melahirkan rasa syukur atas sambutan hangat penonton. "Pencapaian ini sangat mengujakan dan menjadi pembakar semangat untuk kami terus menghasilkan karya-karya bermutu tinggi," katanya.
Dibintangi barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Ropie, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan dan Datuk Yusof Haslam, filem ini turut diserikan dengan penampilan istimewa Sharifah Aryana, Serra Kamal dan ramai lagi.
Bagi peminat yang ingin bertemu dengan barisan pelakon, mereka boleh hadir ke beberapa pawagam terpilih:
1 November: GSC Aman Central dan GSC Aman Jaya, Kedah
2 November: TGV Bukit Mertajam, GSC Sunway Carnival dan GSC Queensbay Mall, Pulau Pinang
3 November: MMCineplexes Krian Sentral, GSC Aeon Falim dan GSC Ipoh Parade, Perak
"Don Dukun" kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Penonton digalakkan berkongsi pendapat mereka di media sosial menggunakan tanda pagar #DonDukun dan #KecutPerutPecahPerut.
Comments