Persaingan sengit bakal mewarnai Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 apabila tujuh filem cereka tempatan berjaya disenarai pendek bagi kategori Filem Terbaik, berbanding hanya lima filem seperti kebiasaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib mendedahkan filem-filem yang berjaya menempatkan diri dalam senarai akhir ialah Imaginur, Abang Adik, Sheriff: Narko Integriti, Rain Town, Duan Nago Bogho, Mechamato Movie dan Hungry Ghost Diner.
Menurut beliau, keputusan untuk menyenaraikan tujuh filem dibuat selepas barisan juri mendapati kesemua filem tersebut memiliki kekuatan tersendiri dan menepati kriteria yang ditetapkan.
"Tahun ini kita dapat lihat kepelbagaian yang memberangsangkan dari segi genre dan bahasa. Bukan sahaja filem berbahasa Melayu, malah ada filem berbahasa Cina, serta genre berbeza seperti aksi, drama dan sains fiksyen," jelas Datuk Azmir.
Filem arahan Nik Amir Mustapha, Imaginur mendominasi festival dengan 15 pencalonan, manakala Abang Adik arahan Jin Ong pula meraih 11 pencalonan. Abang Adik dilihat mempunyai kelebihan tersendiri kerana telah mendapat pengiktirafan di pelbagai festival antarabangsa.
Dalam pada itu, FFM ke-33 menerima lebih 100 penyertaan, iaitu jumlah yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini mungkin disebabkan festival ini tidak dapat dianjurkan selama dua tahun berturut-turut.
Malam kemuncak FFM ke-33 akan berlangsung pada hari Sabtu di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur dan akan disiarkan secara langsung melalui TV2 dan saluran YouTube FINAS.
FINAS juga mengambil inisiatif untuk memberi ruang kepada wakil media bertemu dengan ketua juri selepas majlis bagi mendapatkan penjelasan mengenai kriteria pemilihan pemenang kategori Filem Terbaik, sekaligus memberi panduan kepada pembikin filem tempatan untuk masa hadapan.
Comments