Festival MotorManiac 2026: Pentas Automotif Terbesar KL Janji Pengalaman Luar Biasa di MyTOWN September Ini
- oleh Editor MYBUZZ
- 30 Aug 2026 5:40 pm
SHAH ALAM – Demam automotif tanah air bakal mencapai kemuncaknya apabila Festival MotorManiac 2026 edisi kelima dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 6 September ini di Rooftop, Aras 7, MyTOWN Kuala Lumpur. Acara anjuran penyedia bantuan tepi jalan terkemuka, Bateriku (M) Sdn. Bhd., ini dijangka membanjiri ibu kota dengan kehadiran lebih 40,000 peminat tegar dunia permotoran.
Festival yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini turut digerakkan menerusi kerjasama Astra selaku penaja utama, Petronas Syntium sebagai penaja bersama, serta Lazada sebagai rakan tiket rasmi.
Festival MotorManiac memasuki edisi kelima ini dijangka menghimpunkan puluhan ribu peminat automotif menerusi pelbagai aktiviti menarik yang menggabungkan budaya permotoran, hiburan dan gaya hidup dalam satu acara berskala besar.


MotorManiac 2026 satukan kelajuan, muzik dan budaya jalanan dalam satu festival mega.
Tiket festival ditawarkan pada harga RM30 untuk kemasukan satu hari dan RM50 bagi pas dua hari. Orang ramai boleh mendapatkan tiket menerusi platform Lazada, laman web rasmi rakanbateriku.com atau secara walk-in sepanjang acara berlangsung.
Antara tarikan utama yang bakal memeriahkan festival ini termasuk pameran jentera berprestasi tinggi, konsert terbuka DEF JAM Southeast Asia yang menampilkan barisan artis popular, pengenalan MotorManiac Drift Academy serta pelbagai aktiviti komuniti automotif yang direka khas untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.
Lebih menarik, pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah eksklusif untuk dimenangi. Hadiah utama yang menjadi tumpuan ialah sebuah Nissan Cefiro A31 yang telah dibangunkan khas dan berada dalam keadaan sedia drift serta sedia dipandu, menjadikannya antara ganjaran paling istimewa yang pernah ditawarkan dalam sejarah penganjuran Festival MotorManiac.

Lebih daripada festival kereta, MotorManiac 2026 perkukuhkan ekosistem automotif Malaysia. – Pengarah MotorManiac, Mikhail Faizi@Mike.
Gabungan Pentas Muzik DEF JAM & Budaya Jalanan
Kelainan utama edisi 2026 menyaksikan penyertaan DEF JAM Southeast Asia sebagai Rakan Pentas Rasmi yang dibawakan khas secara open-air. Barisan artis hip-hop tanah air seperti Joe Flizzow, SonaOne, ALYPH, Ismail Izzani, Yonnyboii, Killa Driz, Lil J, AbangSapau, dan DJ CZA bakal menghangatkan suasana.
Kerjasama ini turut melahirkan koleksi barangan rasmi eksklusif sebanyak 12 SKU. Bagi melengkapkan gaya hidup urban, festival ini turut membawakan persaingan B-Boy ‘Jom Battle’ arahan Sora serta pertunjukan bola sepak gaya bebas Keep It Street oleh atlet Red Bull Malaysia, Zeem Ahmad.
Impak Antarabangsa & Pembangunan Sukan Drift
Acara ini turut menjadi saksi pelancaran MotorManiac Drift Academy dan pasukan drift ASTRA, sebuah inisiatif di bawah pakatan World Drift School Alliance (WDSA) yang menggabungkan kepakaran dari Malaysia, Indonesia, Amerika Syarikat, dan Belanda.
Akademi ini disokong oleh tokoh drift global seperti Rome Charpentier (pelumba Formula Drift PRO1 AS), Vernon Zwaneveld (jurulatih & hakim FIA), serta pelumba Indonesia, Dika Champion dan Alvito Hardianto.
Kehadiran pempengaruh automotif antarabangsa seperti CarCulth, Smokey Nicole, Tatsu Miyagawa, Clay Wong, dan Final Drive turut mengukuhkan kedudukan festival ini di peringkat global.

Nissan Cefiro A31 menanti pemilik baharu, rebut peluang di MotorManiac 2026.
Inovasi Digital, Produk Baharu & Hadiah Nissan Cefiro A31
Mengikut peredaran teknologi digital, MotorManiac turut memperkenalkan aplikasi mudah alih rasmi sebagai platform sehenti pembelian tiket, barangan rasmi, komponen prestasi, hingga ke forum komuniti bersama jenama terkemuka seperti DeWalt dan Works Engineering.
Dalam masa sama, bateri berprestasi tinggi berasaskan lithium iron phosphate (LFP) iaitu ASTRA-X turut dilancarkan khas untuk kegunaan perlumbaan dan drift. Para pengunjung berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah jentera ikonik Nissan Cefiro A31 yang sedia untuk dipandu dan didrift bagi setiap pembelanjaan RM50 untuk barangan rasmi MotorManiac.
Pelbagai hadiah menarik lain seperti motosikal elektrik GGR, set gantung Teg, helmet OMP Racing, serta barangan DeWALT turut disediakan sepanjang dua hari festival berlangsung.
