Tun Razak Exchange (TRX) bakal bergegar dengan kemeriahan seni, budaya dan gaya hidup Indonesia apabila Festival Gebyar Nusantara membuka tirainya pada 30 November hingga 1 Disember 2024. Festival dua hari yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur ini menjanjikan gabungan unik seni, muzik, fesyen dan makanan yang akan memukau pengunjung.
Penganjur menganggarkan lebih 15,000 pengunjung akan memeriahkan festival percuma ini yang berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam di Raintree Plaza, TRX. Para pengunjung bukan sahaja dapat menikmati persembahan artis popular, malah berpeluang bertemu dengan bintang drama sensasi 'Zona Merah', Devano dan Maria Theodore dalam sesi meet & greet eksklusif.
Penyanyi yang sedang meningkat naik, Allen Anderson akan memeriahkan festival ini pada hari kedua, manakala kumpulan Kureiji dan Patriot akan membawakan lagu-lagu galau yang pasti menghiburkan peminat muzik Indonesia. Turut menyerikan majlis adalah persembahan istimewa daripada Erul Samah dan JZ Vibes.
"Festival ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga platform untuk mengukuhkan hubungan dua hala melalui seni dan budaya," kata Duta Republik Indonesia ke Malaysia, Dato' Indera Hermono ketika ditemui.
Pengunjung juga berpeluang menjelajah ke destinasi menarik Indonesia melalui pameran pelancongan yang mengetengahkan lokasi popular seperti Bali, Bandung, Lombok dan Kalimantan. Peminat makanan pula boleh menikmati hidangan autentik dari pelbagai wilayah Indonesia termasuk Nasi Padang Ampera Raya, Soto Banjar Bang Suhai, dan Ayam Gepuk Top Global.
Satu tarikan utama festival ini adalah terowong interaktif Zona Merah yang menjanjikan pengalaman mengujakan kepada pengunjung. Para penggemar seni dan kraf tangan juga boleh berinteraksi secara langsung dengan para pengkarya Indonesia sambil meneroka hasil kerja tangan mereka.
Festival yang turut meraikan ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-79 ini merupakan usaha Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur untuk memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia melalui platform kesenian dan kebudayaan.
Untuk mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang festival ini, maklumat terperinci boleh didapati di laman Facebook rasmi Kedutaan Besar Republik Indonesia, Kuala Lumpur.
Commentaires