top of page
Writer's pictureMYB

Festival Filem Asia Pasifik ke-61 Bakal Berlansung Di Genting Highlands

Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61) bakal kembali ke Malaysia dengan penganjuran pelbagai acara menarik selama tiga hari oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Lomo Pictures Sdn Bhd, Kumpulan NCT dan Festival Seni Antarabangsa Asia Pasifik.


Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61)
(Kiri) Pengerusi Pengelola Festival Filem Asia-Pasifik ke-61, Aron Koh, (Tengah) Pengerusi FINAS, Dato Kamil Othman

APFF61 bakal berlangsung bermula 29 November hingga 1 Disember 2024, di Wyndham Ion Majestic Hotel, Genting Highlands, Pahang Darul Makmur. Festival Filem Asia-Pasifik merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Persekutuan Penerbit Filem di Asia-Pasifik (FPA), melibatkan penyertaan dari 25 negara dan wilayah berbeza.


Ia berfungsi sebagai sebuah platform penting untuk mempamerkan bakat dan kreativiti sinematik terbaik dari Asia-Pasifik, menghimpunkan pembuat filem, artis, para pemain industri dan peminat bagi meraikan kecemerlangan dalam pawagam. Festival ini bertujuan untuk mempromosikan pertukaran budaya, ekspresi seni, pendidikan, pelancongan, dan kerjasama ekonomi di rantau Asia Pasifik.


Pengerusi Pengelola Festival Filem Asia-Pasifik ke-61, Aron Koh, menyatakan bahawa penganjuran APFF61 di Genting Highlands adalah peluang terbaik untuk mempromosikan industri perfileman dan kreatif Malaysia ke peringkat global.


“APFF61 dijangka lebih besar dan akan membawa ramai penggiat filem dari seluruh dunia. Ini adalah peluang terbaik bagi industri perfileman dan kreatif untuk membuka lebih luas konteks perniagaan dan sebagai bonus untuk pelaburan, sekaligus mengangkat Malaysia sebagai lokasi pelancongan dan acara berprestij.


“Selain itu, festival ini juga bertujuan bagi memupuk dan menggalakkan pertukaran budaya, mempamerkan bakat yang pelbagai, dan menggalakkan kerjasama dalam komuniti filem Asia-Pasifik”, ujar Aron Koh.


Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61)
Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61)

Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah bagi beberapa edisi APFF, termasuk Festival Filem Asia Pasifik ke-27 pada tahun 1982 dan ke-50 pada tahun 2005. Penganjuran kali ini diharapkan dapat mengulangi kejayaan tersebut dan membawa lebih banyak peluang serta pengiktirafan kepada industri perfileman tempatan.


Setiausaha Agung Persekutuan Penerbit Filem di Asia Pasifik (FPA) dan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Pansha, melahirkan rasa teruja dengan sokongan padu dari pelbagai pihak. Beliau menambah bahawa festival ini adalah platform terbaik untuk mempromosikan filem-filem Asia Pasifik ke peringkat global dan memperkenalkan Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan yang menarik.


Penganjuran APFF di Genting Highlands juga diharapkan dapat menarik lebih ramai pelabur dari luar negara dan meningkatkan potensi pelancongan di Malaysia. Dengan populasi ASEAN yang besar, festival ini juga diharapkan dapat merancakkan industri kreatif dan perfileman di rantau ini.


Tahun ini, filem seram Malaysia “Indera” lakonan Shaheizy Sam, Azira Shafinaz dan Samara Kenzo, telah dipilih sebagai filem pembukaan APFF61. Kemuncak Majlis Anugerah APFF61 akan memberi penghormatan kepada pencapaian cemerlang dalam perfileman, mengiktiraf filem, persembahan dan sumbangan yang paling luar biasa kepada industri perfileman AsiaPasifik.


Dengan persiapan yang rapi dan sokongan padu dari pelbagai pihak, APFF ke-61 dijangka akan menjadi satu lagi acara yang berprestij dan berjaya, sekaligus mengangkat nama Malaysia di persada dunia perfileman.



Siaran Terkini

Lihat Semua

コメント


bottom of page