Majlis sambutan ulangtahun ke-18 Bandaraya Petaling Jaya berlansung malam semalam dengan meriah di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, Petaling. Pelancaran majlis tersebut disempurnakan oleh EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Negeri Selangor, YB Anfaal Binti Saari bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, YBrs, Tuan Haji Mohamad Zahari Bin Samingon yang turut menyempurnakan pra-pelancaran Festival Cerita Rakyat Antarabangsa Petaling Jaya 2025 (PJIFF2025).
Pada 2015, Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan Petaling Jaya sebagai Bandaraya Kesenian, mengiktiraf usaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam mempromosikan bandar raya itu sebagai destinasi pelancongan antarabangsa melalui seni dan budaya, khususnya melalui Festival Cerita Rakyat Antarabangsa Petaling Jaya.
Penganjuran Festival Cerita Rakyat Antarabangsa Petaling Jaya ini telah diklasifikasikan sebagai Government to Government Cultural Project dan pada tahun 2018 telah diiktiraf sebagai Program Pertukaran Budaya Antarabangsa oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Seterusnya Bandaraya Petaling Jaya dengan kerjasama International Council of Organizations of Folklore Festival and Folk Arts (CIOFF) Malaysia (Official Partner of UNESCO) telah diberikan kepercayaan mewakili Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran 1st Asia Pacific Youth Folklore Festival 2023 pada 21 hingga 26 September 2023 di Pusat Bandar Seksyen 52, Petaling Jaya.
Mulai tahun 2023 juga, penganjuran Festival Cerita Rakyat Antarabangsa Petaling Jaya telah menerima insentif promosi melalui kalendar pelancongan negara oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Secara amnya, penganjuran festival ini adalah selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Petaling Jaya Pintar, Mampan Dan Berdayatahan 2030 (PJSSR 2030), Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 (DPN) dan Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN) dalam usaha memacu industri pelancongan negara yang berteraskan kelestarian pembangunan budaya, seni dan warisan.
Datuk Bandar Petaling Jaya, YBrs, Tuan Haji Mohamad Zahari Bin Samingon memaklumkan kepada media, Festival Cerita Rakyat Antarabangsa Petaling Jaya adalah signifikan kepada fasa baru penganjuran yang akan diadakan setiap dua tahun sekali (dwi tahunan). Penganjuran yang menekankan konsep penglibatan Kontinjen di peringkat antarabangsa termasuk Sister City.
Program Sister City juga dikenali sebagai Bandar Persahabatan yang menzahirkan kerjasama MBPJ dengan 7 bandar seperti Kota Bandung (Indonesia), Miyoshi, Saitama (Jepun), Asan dan Seongbuk-Gu (Korea Selatan), Qing Yuan (China), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
Pengisian 2025 masih mengekalkan inisiatif memartabatkan lima tonggak seni budaya iaitu persembahan kebudayaan, makanan, permainan rakyat, busana dan seni silat. Sasaran penyertaan Kontinjen untuk penganjuran 2025 adalah sebanyak 25 kontinjen.
Comments