Farahdhiya Kembali Rancakkan Syawal! ‘Eh Ah! Raya’ Janji Vibe Ceria Balik Kampung
- oleh Editor MYBUZZ
- 23 Feb 2026 3:25 pm
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon versatil tanah air, Farahdhiya, kembali menghangatkan sambutan bulan Syawal tahun ini dengan buah tangan terbaharu buat para peminatnya. Tampil dengan single Aidilfitri yang diberi judul “Eh Ah! Raya”, naskhah rancak dan ceria ini menjanjikan suntikan kemeriahan suasana lebaran sewaktu berkumpul bersama keluarga serta insan tersayang.
Menariknya mengenai lagu raya ini, ia mempertaruhkan gabungan elemen tradisional dan moden yang diolah dengan susunan muzik yang cukup segar. Pendengar akan dihidangkan dengan alunan bunyi-bunyian instrumen klasik seperti rebana sentuhan Ajay Amai yang disulami indah dengan petikan gitar berirama pop kontemporari daripada komposer prolifik merangkap penerbit lagu ini, Pown Hasril.

Karya ini merupakan hasil kolaborasi kreatif di mana ia digubah secara bersama oleh Farahdhiya dan Pown Hasril, manakala bait-bait liriknya pula ditulis sepenuhnya oleh Farahdhiya sendiri. Kehadiran naskhah ini sekali lagi membuktikan keupayaan beliau untuk terus kekal relevan dan kreatif dalam mewarnai industri muzik tempatan.
Bagi melengkapkan lagi keunikan naskhah ini, vokal latar telah disumbangkan oleh Glowrush dan Ajay Amai, diserikan dengan kemeriahan suara riang kanak-kanak oleh Nawal Zayani dan Nawal Ariana, serta disempurnakan proses adunan dan mastering oleh Jack Jafni bagi menjamin kualiti audio yang terbaik.

Bercerita lanjut mengenai inspirasi di sebalik lagu ini, Farahdhiya mendedahkan bahawa ia lahir daripada rasa rindu yang menebal terhadap kemeriahan perayaan Aidilfitri yang diwarnai dengan pelbagai warna dan gelak tawa. Beliau mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan sebuah lagu raya yang benar-benar mencerminkan personaliti dirinya yang ceria, sedikit ‘playful’, dan sarat dengan semangat kekeluargaan.
Menurutnya, lagu ini adalah gambaran tepat mengenai suasana ketika semua orang sibuk membuat persiapan, anak-anak berlari riang, dan ahli keluarga berkumpul tanpa mengira usia. Beliau turut meluahkan harapan agar “Eh Ah! Raya” dapat menjadi runut bunyi wajib yang membangkitkan keterujaan untuk pulang ke kampung, membayangkan juadah enak di atas meja, dan meraikan erti kebersamaan serta kemaafan di pagi raya.
Dengan tempo yang rancak serta bahagian korus yang sangat mudah melekat di ingatan, diyakini “Eh Ah! Raya” mampu tersenarai sebagai antara lagu raya pilihan utama pada tahun ini untuk mengiringi pelbagai kempen, acara, dan kandungan media sosial.
Diedarkan oleh Seventeen Eleven Muzik, lagu ini sedia untuk distrim di semua platform penstriman muzik digital utama bermula 25 Februari 2026. Peminat juga sudah boleh menonton video muzik rasminya yang sarat dengan konsep warna-warni dan elemen tradisi raya menerusi saluran YouTube rasmi ‘Seventeen Eleven Music’ bagi melengkapkan lagi pengalaman perayaan pada tahun ini.
