top of page
Writer's pictureMYB

ERA FM Buat Kejutan: Bawa Studio Radio Ke Jalanan KL Dengan Trak Berkaca

ERA FM, stesen radio nombor satu di Malaysia, sekali lagi mencetus fenomena baharu dalam dunia penyiaran dengan menganjurkan siaran langsung secara unik menggunakan trak berkaca yang akan menjelajah ke beberapa lokasi tumpuan di ibu kota.


ERA FM Buat Kejutan: Bawa Studio Radio Ke Jalanan KL Dengan Trak Berkaca

Program yang julung kali diadakan ini merupakan inisiatif ERA FM bagi meraikan pencapaian cemerlang mereka yang telah berjaya meraih 4.8 juta pendengar berdasarkan laporan terkini GfK bagi gelombang kedua tahun ini.


Menurut Ketua Jenama ERA, Azah Sahrin, program ini akan membawakan satu dimensi baharu dalam dunia penyiaran radio apabila penyampai-penyampai popular seperti Nabil, Azad, Isha Norsham, Shasha, Hawa Rizwana, dan Muna akan meninggalkan studio tradisional untuk bertemu peminat secara langsung.


"Kami memilih tiga lokasi strategik iaitu Dataran Merdeka pada jam 9.00 malam, KLCC pada jam 9.30 malam, dan Bukit Bintang pada jam 10.00 malam untuk memberi peluang kepada para pendengar kami bertemu dengan personaliti kegemaran mereka," kata Azah.



Para peminat yang hadir bukan sahaja berpeluang beramah mesra dengan penyampai kegemaran, malah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk koleksi eksklusif barangan ERA dan baucar membeli-belah melalui peraduan yang dianjurkan.


Program yang berlangsung pada 15 November ini turut disiarkan secara langsung melalui platform TikTok Live ERA, membolehkan peminat yang tidak berkesempatan hadir untuk turut merasai kemeriahan program ini secara maya.


"Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan ERA untuk mendekatkan diri dengan pendengar sambil memastikan kandungan yang disampaikan kekal relevan dan menghiburkan," tambah Azah lagi.


Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti akan datang, orang ramai boleh melayari laman web rasmi ERA di era.syok.my atau mengikuti akaun media sosial rasmi ERA.



0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page