top of page

EP Inggeris Pertama Insomniacks, "Awake & Dreaming" Bawa Dimensi Baru Pop Rock Malaysia

  • Writer: MYB
    MYB
  • 4 hari lalu
  • 2 min membaca

Updated: 10 minit lalu

Kuala Lumpur - Kumpulan pop rock tanah air yang sedang meningkat naik, Insomniacks, baru-baru ini telah hadir memberi kejutan kepada peminat dengan pelancaran EP bahasa Inggeris pertama mereka yang bertajuk "Awake & Dreaming". Projek yang dinanti-nantikan ini menandakan satu lagi pencapaian besar dalam perjalanan muzik trio yang digilai ramai dalam kalangan generasi Z ini.


EP Inggeris Pertama Insomniacks, "Awake & Dreaming" Bawa Dimensi Baru Pop Rock Malaysia

Insomniacks yang dianggotai Iqie (vokalis utama), Iskandar (pemain bes) dan Dan (pemain gitar) telah sekian lama menyimpan impian untuk melancarkan koleksi lagu berbahasa Inggeris, sesuatu yang akhirnya menjadi kenyataan pada bulan ini.


"Kami sentiasa teringin melancarkan lagu-lagu Inggeris sejak awal penubuhan kumpulan. Kami yakin peminat dan pendengar muzik kami di Malaysia sudah bersedia melihat sisi berbeza kami," kata Iqie ketika ditemu bual mengenai EP baharu mereka.


EP yang mengandungi lima buah lagu ini meneroka tema kesihatan mental, khususnya pengalaman mereka sendiri bergelut dengan insomnia. "Awake & Dreaming", yang juga merupakan tajuk EP, diilhamkan oleh pengalaman peribadi mereka yang sukar membezakan antara realiti dan alam mimpi akibat masalah sukar tidur.


Dan menjelaskan, "Inspirasi di sebalik lagu 'Awake & Dreaming' khususnya tercetus daripada kisah mereka yang bergelut dengan insomnia sehingga terperangkap dalam kesunyian di malam hari. Walaupun ditulis sedekad yang lalu, ia tetap mengimbau kembali masa dan emosi yang kami lalui ketika itu."


EP Inggeris Pertama Insomniacks, "Awake & Dreaming" Bawa Dimensi Baru Pop Rock Malaysia

EP "Awake & Dreaming" memuatkan lima buah lagu iaitu "Anti-hero", "Awake & Dreaming", "Overdrive" (featuring KillaDriz), "Some Days Are Just Better", dan "Why Don't You Cry". Kesemua lagu dalam koleksi ini dihasilkan sepenuhnya oleh Iqie, Dan, dan Iskandar, dengan kerjasama JOEK sebagai penerbit dan Joseph Chua sebagai penyusun muzik.


Menariknya, kumpulan ini tidak asing lagi dengan kejayaan dalam industri muzik tempatan. Lagu-lagu hit mereka dalam bahasa Melayu seperti "Reminisensi" dan "Sempurna" kini berada dalam carta Top 10 Lagu Domestik Paling Strim di Malaysia oleh RIM.


Dengan penambahan lagu-lagu bahasa Inggeris ini, Iskandar percaya impian untuk mengadakan konsert solo mereka semakin hampir menjadi kenyataan. "Pendengar boleh melihat sisi berbeza dan baharu Insomniacks. Kami sangat teruja untuk menunjukkan sisi itu, apatah lagi kemampuan lain kami yang lebih versatil," ujarnya. "Awake & Dreaming" kini boleh didengari di semua platform penstriman utama.



Comments


bottom of page